My Add

Tuesday 6 March 2012

Kerajaan digesa laksana dasar gaji minimum berperingkat

PETALING JAYA, SELASA, 06 Mac, 2012: Dasar gaji minimum negara haruslah diperkenalkan secara berperingkat bagi memberi masa kepada syarikat dan perniagaan untuk membuat pelarasan, kata sekumpulan 16 persatuan perniagaan dan pengeluar. 

Jurucakapnya, Lim Kok Boon, berkata walaupun kumpulan itu menyambut baik dasar baru itu sebagai cara ke arah mencapai hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, namun apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah cara pelaksanaan.

Lim, yang juga presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia berkata, syarikat dan perniagaan perlulah diberikan masa untuk membuat pelarasan, jika tidak, syarikat dan perniagaan terpaksa mencari cara lain untuk mengurangkan kos dan ini mungkin mengakibatkan pekerja kehilangan pekerjaan.

"Kami bimbang produktiviti akan merosot dengan ketara berikutan pelaksanaan dasar itu. 

"Ini akan meningkatkan kos pengeluaran dan menjadikan kami tidak berdaya saing," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, masa terbaik untuk melaksanakan dasar seperti gaji minimum ialah ketika ekonomi berkembang. 

"Oleh kerana ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya, banyak pengeksport terpaksa bersaing dari segi harga dan tidak akan dapat memindahkan pertambahan kos ini kepada pelanggan mereka," katanya.

Lim berkata, kenaikan gaji yang mendadak dan besar akan mengakibatkan sebanyak 200 syarikat kecil pengeluaran plastik yang ditakrifkan sebagai mempunyai kurang daripada 50 pekerja, gulung tikar. 

"Ini akan mengakibatkan ekonomi kehilangan 10,000 pekerjaan," kata beliau. 

Kata Lim, dengan pelaksanaan dasar ini, 10,000 pekerjaan dalam syarikat bersaiz sederhana hingga besar menghadapi risiko memandangkan keperluan membayar gaji yang lebih tinggi. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata dasar gaji minumum bagi pekerja sektor swasta akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment