My Add

Wednesday 21 March 2012

Pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun sederhana

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan dalam ekonomi sedang pesat membangun akan terus menjadi sederhana pada 2012 dari paras tinggi yang dicapai pada 2010, memandangkan kemerosotan dalam persekitaran luaran. 

Pemulihan ekonomi global, yang bermula pada separuh 2009, dijangka menjadi perlahan pada 2012 yang sebahagian besarnya disebabkan oleh isu hutang kerajaan yang berlarutan dalam ekonomi maju, demikian menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2011.

Selain itu, BNM berkata pertumbuhan permintaan dalam negeri juga dijangka menjadi perlahan.

Menurut BNM, sentimen sektor swasta yang lebih berwaspada di tengah-tengah ketidakpastiaan yang tinggi dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global, akan mengekang aktiviti dalam negeri kerana firma dan pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka. 

Bagi sebilangan ekonomi Asia, katanya langkah dasar yang awal untuk mengelakkan pertumbuhan yang terlalu tinggi, pertumbuhan yang pesat dalam kredit dan kenaikan yang berlebihan dalam harga harta tanah, telah mengurangkan permintaan ke paras yang mampan.. 

"Ekonomi sedang pesat membangun juga dijangka terjejas oleh suntikan jumlah mudah tunai yang besar oleh ekonomi maju dan susulan persekitaran kadar faedah rendah akibat suntikan tersebut akan terus merangsang pelabur untuk mencari pulangan hasil," kata BNM. 

Katanya implikasinya adalah bahawa banyak ekonomi sedang pesat membangun akan terus mengalami aliran pergerakan modal yang besar serta ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan mereka. 
Di Asia, katanya momentum pertumbuhan dijangka menjadi sederhana memandangkan prospek permintaan luar negeri yang lebih lemah dan juga sebahagiannya oleh kesan tertangguh dari pengetatan dasar sebelumnya di beberapa ekonomi serantau. 

Kemerosotan dalam prestasi eksport yang berpunca terutama daripada permintaan yang lebih perlahan daripada ekonomi maju, khususnya daripada Kesatuan Eropah, yang mencakupi 23 peratus daripada permintaan akhir terhadap eksport Asia, katanya. 

Pertumbuhan eksport yang lebih perlahan dijangka mempunyai kesan buruk yang lebih besar ke atas ekonomi yang lebih terbuka, tetapi daya tahan permintaan dalam negeri akan terus menyokong pertumbuhan di rantau ini. 

BNM berkata inflasi global dijangka menjadi sederhana sejajar dengan harga makanan dan tenaga yang lebih rendah dan aktiviti ekonomi global yang lembap. 

Bagaimanapun, katanya terdapat risiko bahawa pergolakan politik di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berterusan akan terus menjejaskan bekalan minyak, sekali gus mendorong kepada kenaikan harga minyak. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment