My Add

Saturday 24 March 2012

PSC Lynas tetap wujud tanpa pembangkang: Khaled

SUNGAI SIPUT, SABTU, 24 Mac, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant akan tetap diwujudkan walaupun tiada wakil pembangkang menganggotai jawatankuasa itu, kata Pengerusi PSC, Datuk Seri Khaled Nordin. 

Beliau berkata, jawatankuasa itu bagi meneliti isu berkaitan kilang nadir bumi di Gebeng, Pahang, dengan bersandarkan kepada kebenaran, ilmu dan kajian saintifik agar rakyat mendapat kepastian mengenai perkara itu.

Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas program Kolaborasi Strategik dan pelancaran Kolej Komuniti Sungai Siput sebagai Hub Industri Automotif hari ini.

Khaled berkata, peranan dan tanggungjawab dalam mengetuai jawatankuasa itu akan dilaksanakannya apabila senarai nama anggota jawatankuasa diumumkan di Parlimen nanti. 

"Kita diberi tempoh tiga bulan (untuk melaksanakan tanggungjawab itu)," katanya. 

Sementara itu, Khaled menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini bahawa mulai tahun ini kerajaan akan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara, sebaliknya akan menempatkan mereka di universiti tempatan. 

"Sekarang selepas lebih daripada 50 tahun merdeka kita punyai 20 universiti awam dan 70 universiti swasta yang menawarkan pelbagai bidang ilmu dan disiplin. Ia juga banyak lahirkan pakar ilmuan, sarjana yang mampu menyebarkan ilmu. 

"Mungkin dahulu ilmu bergerak dari Barat ke Timur tapi sekarang ini menerusi universiti penyelidikan kita, memungkinkan ilmu diterokai dan dicipta daripada universiti kita yang membolehkan ilmu mengalir dari Timur ke Barat," katanya. 

Pada majlis itu, dua buah kenderaan Hyundai diserahkan kepada pihak kolej tersebut oleh Syarikat Hyundai Motors Asia untuk kegunaan dalam latihan kemahiran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment