PUTRAJAYA, KHAMIS, 21 JUN, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengetengahkan beberapa pendekatan yang perlu diberi tumpuan dalam menjayakan sebuah pentadbiran yang baik.
Katanya, dalam pelaksanaan apa jua program, soal utama yang perlu diambil kira ialah kemapanan serta terus berkembang dan meningkatkan hasil negara.
Beliau berkata dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan hasil negara yang bertambah, sebahagian daripadanya memang harus diagih kepada sektor sosial dan kebajikan supaya mereka yang memerlukan bantuan mendapat sumber kewangan yang mapan.
Katanya, keadaan ini berbeza dengan model negara sosialis yang banyak menekankan kepada pengagihan buat rakyat tanpa memikirkan cara untuk membangunkan sumber kewangan atau ekonomi negara secara keseluruhan.
"Begitu juga jika ada pihak yang cuba menggunakan platform terlalu populis yang menjanjikan segala-galanya kepada rakyat tetapi tidak langsung membentangkan soal dari mana punca kewangan untuk membiayainya," katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini.
Najib berkata, sebab itulah kerajaan melancarkan pelbagai program untuk menjana pembangunan negara secara mampan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang semuanya disasar untuk perkembangan ekonomi berterusan supaya punca kewangan yang diperolehi dapat digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sementara itu, beliau berkata pendekatan lama yang bersifat "teritorial" yang merujuk kepada kecenderungan menjaga kepentingan serta ruang bidang sendiri sahaja atau selesa dengan apa yang dilaksanakan setakat keadaan semasa sahaja, juga tidak boleh diterima lagi.
Najib berkata, pentadbiran kini perlu berfikir dengan lebih inovatif, kreatif dan berfikiran jauh merentasi sempadan agensi, untuk melahirkan output yang lebih baik.
Katanya, bagi tujuan itu juga kerajaan melancarkan strategi lautan biru kebangsaaan (NBOS) yang merujuk kepada hubungan kerjasama lebih sepadu antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, dan agensi atau jabatan dari kementerian yang pelbagai dalam melaksanakan projek-projek pembangunan.
Najib kemudian merujuk kepada 1.6 ha kawasan kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana yang diusahakan dengan tanaman 'Rock Melon' oleh sebuah syarikat.
"Jangan fikir Seri Perdana tak keluarkan hasil, ia boleh jana pendapatan. Menerusi empat ekar campur dua ekar yang diusahakan (syarikat berkenaan) di tempat lain, tahun sudah kita dapat raih lebih RM600,000 (melalui tanaman Rock Melon itu), isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) beri kepada persatuan ibu tunggal, tahun ini dia dapat hasil RM550,000, diberi kepada persatuan kanak-kanak autistik.
"Kalau tak ada idea seperti ini, tak ada punca pendapatan, mungkin segala-galanya akan diminta daripada kerajaan," katanya.
Perdana Menteri seterusnya meminta penjawat awam supaya lebih banyak turun padang dan melihat sendiri keadaan sebenar sebelum membuat sebarang ketetapan dalam aspek pentadbiran.
"Apa pun dasar peraturan yang kita buat kita mesti sedar bahawa tidak ada dasar 'one size fit all'(satu perkhidmatan untuk semua). Ia perlu berpandukan kepada realiti. Sebab itu perlu tahu keadaan yang sebenarnya.
"Mungkin yang diputuskan secara umum sesuai untuk ramai, tapi mungkin ada pengecualian yang memerlukan kita membuat penilaian, tidak seharusnya rigid, perlu lebih fleksible," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment