My Add

Monday 25 June 2012

Bantuan tanpa mengira kaum

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak wajar melihat segala bantuan yang disalurkan kerajaan tidak hanya memberi manfaat kepada satu-satu kaum atau golongan semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, segala bantuan yang disalurkan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan RM100 kepada pelajar sekolah dan baucer RM200 kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira kaum.

"Kita perlu melihat bahawa usaha kita mendekati rakyat dan apa-apa pun pertolongan yang kita beri, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai 'zero sum game' atau satu-satu pihak menerima manfaat atas kerugian pihak lain, sama seperti apabila kita mampu tolong komuniti ini apabila komuniti lain tidak diberi pertolongan.

"Di Malaysia, kita ada sumber dan kekayaan yang mencukupi bagi membolehkan kita membangunkan polisi yang adil dan sama rata untuk semua orang jadi saya suka jika pemikiran kita semua tidak berdasarkan kepada perspektif 'zero sum game' ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Dialog Belia Cina Bersama Perdana Menteri yang dianjurkan oleh lapan pertubuhan dan persatuan belia Cina di seluruh negara di Dewan Tunku Canselari, Universiti Malaya di sini hari ini.

Najib berkata, sekiranya semua pihak mempunyai perspektif bahawa sesuatu kaum mendapat kelebihan atas kerugian atau kesusahan kaum lain, maka kerajaan sendiri tidak mampu untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk mendapat bantuan yang disediakan.

"Sebagai contoh apabila kerajaan mahu menghapuskan kemiskinan, ia seharusnya berdasarkan membantu tanpa mengira kaum kerana di negara ini, ada kaum Melayu yang miskin, orang Cina yang miskin, India miskin dan kaum-kaum lain juga.

"Sebab itu apabila kita bagi BR1M, baucar buku dan bantuan pelajar sekolah, kita beri kepada semua. Malah saya terima banyak mesej di Facebook dan Twitter yang sangat hargai pemberian itu. Mereka juga bertanya bolehkah ditambah lagi bantuan itu. Bagi saya itu satu petanda baik," katanya.

Dalam pada itu, Najib pada majlis itu turut menerima Anugerah Arkitek Transformasi oleh penganjur dialog tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan Perdana Menteri terhadap pembangunan dan transformasi negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment