My Add

Monday 25 June 2012

Kaji beri permit teksi individu

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan merangka model baru untuk industri teksi negara dengan mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan teksi yang lebih efisien, selesa dan harga berpatutan kepada orang ramai.

Beliau berkata, pada masa sama ia akan memberi kepuasan kepada pemandu teksi demi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Jelas beliau, dalam usaha ke arah itu, sistem pajakan permit teksi kepada syarikat perkhidmatan pengangkutan awam itu akan ditamatkan, sebaliknya, bakal diberikan kepada individu.

''Saya tidak suka apabila dengar syarikat-syarikat dapat terlalu banyak lesen teksi. Era kita bagi kepada syarikat kita akan tamatkan.

''Dalam model baru ini kita akan beri kepada individu dalam bentuk sistem baru. Mengikut sistem ini, kepentingan pemandu teksi individu itu akan dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya, sebab sistem pajak (permit) teksi ini satu bentuk penghambaan moden.

''Bagaimanapun, berilah kita sedikit tempoh masa untuk kaji dan menggubal sistem baru yang disenangi pemandu teksi dan rakyat,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) di pekarangan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pemandu teksi merupakan kumpulan terpenting dalam pembentukan imej dan persepsi rakyat serta pelancong asing terhadap kerajaan dan negara.

Selain mengumumkan pemberian baucar tayar bernilai RM520 untuk setiap pemandu teksi dan skim insurans perlindungan kemalangan diri, Perdana Menteri berkata, golongan itu juga merupakan duta kecil dalam usaha mempromosikan negara ke seluruh dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment