My Add

Monday 4 June 2012

Chong Wei mula jalani latihan


PEMAIN perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika mengadakan sesi latihan buat pertama kali selepas pulih dari kecederaan buku lali kanan di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Jun, 2012: Kecederaan yang dialami perseorangan badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak menghalang beliau daripada menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara pagi ini. 

Bagaimanapun, jurulatih Tey Siu Bock berkata Chong Wei hanya akan mengikuti latihan ringan setiap hari, iaitu 50 peratus daripada tahap latihan yang biasa dilakukan atlet itu.

"Buat masa ini fokus utama beliau (Chong Wei) adalah pada 'rehab' (proses pemulihan).

"Beliau hanya akan menjalani latihan ringan iaitu menumpukan pada tangan saja. Tak boleh terlalu berat kerana takut akan menjejaskan lagi kecederaan beliau," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan. 

Atlit berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan buku lali kanan ketika Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China bulan lepas. 

Beliau yang dijadualkan beraksi di Olimpik London pada Julai, kini menjalani rawatan fisio di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN). 

Tinjauan Bernama mendapati jaguh badminton negara itu kelihatan bersemangat serta masih mampu melakukan pukulan kencang meskipun tidak banyak melakukan gerakan kaki dan lompatan. 
Beliau berlatih lebih kurang 30 minit bersama Tey sebaik sahaja selesai sesi terapi fisio. 

Tey berkata, beliau akan sentiasa memantau proses pemulihan anak buahnya itu menerusi maklum balas yang diterima setiap minggu daripada ISN. 

"Kita pun tak tahu berapa cepat proses pemulihan beliau. Mungkin ambil masa empat hingga lima minggu lagi, bagaimanapun kita akan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada doktor yang merawat beliau," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment