My Add

Monday, 4 June 2012

Ketua Menteri PP tidak hormati media: Chang Yeow

GEORGETOWN, ISNIN, 04 Jun, 2012: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menyifatkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang yang tidak menghormati media. 

Beliau berkata, sikap Lim yang tidak membenarkan beberapa media membuat liputan majlis kelolaan kerajaan negeri dan sering mengugut untuk menyaman media, jelas menunjukkan sikap sebenar ketua menteri itu yang tidak mengamalkan kebebasan media seperti yang diuar-uarkan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Teng berkata, budaya itu juga mula diamalkan beberapa kepimpinan agensi kerajaan negeri yang segelintir tidak mahu bersalaman dengan petugas media.

Katanya, perkara itu tidak pernah terjadi semasa BN memerintah Pulau Pinang meskipun cara kepimpinan mereka dikritik oleh media termasuk bekas ketua menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. 

Mengulas mengenai persediaan BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Teng berkata BN negeri akan menggerakkan jenteranya menerusi program 'Semboyan Dibunyikan'. 

"Kita menetapkan mulai pertengahan bulan ini sehingga pertengahan bulan depan untuk menggerakkan seluruh jentera pilihan raya di peringkat bahagian. 

"Semua pengerusi bahagian akan dimaklumkan pengerusi jawatankuasa perhubungan bagi persiapan program ini di kesemua bahagian," katanya. 

Beliau berkata, persiapan bagi penerangan dan publisiti akan digerakkan secepat mungkin untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada rakyat negeri itu berhubung beberapa isu antaranya kebebasan media, rumah kos rendah dan lalu lintas. 

Teng berkata, penggunaan media baru juga akan diperkukuh bagi memperjelas isu membabitkan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri. 

"Kita menerima kesemua cadangan yang sudah dibuat. Kita juga mengarahkan ia dipaparkan secepat mungkin. Semua data sudah ada...kita bersetuju supaya dibuat dengan kadar yang segera," katanya. 

Sementara itu, Teng berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan lawatan di kawasan Parlimen Bagan pada 16 Jun ini, jam 3 petang. 

Katanya, seramai 20,000 penduduk dijangka menghadiri program 'Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri' yang akan diadakan di Jalan Raja Uda, Bagan. 

"Kami juga mendapat sokongan daripada penjaja di Bagan untuk bersama pada majlis terbabit. Kami menjemput semua rakyat, warga di Bagan dan kawasan luar untuk mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment