My Add

Saturday 23 June 2012

Dasar Pandang Ke Timur masih relevan: Dr Mahathir

PUTRAJAYA, SABTU, 23 Jun, 2012:: Dasar Pandang Ke Timur yang pelaksanaannya masuk tahun ke-30 tahun ini, masih lagi relevan 30 tahun akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, masih banyak lagi yang perlu dipelajari daripada dua negara utama bagi dasar itu, Jepun dan Korea, khususnya mengenai kebudayaan dan sistem nilai mereka termasuk disiplin, etika kerja dan semangat patriotisme.

"Saya berharap Dasar Pandang Ke Timur akan menolong kita belajar mengenai kebudayaan di kedua-dua buah negara itu kerana budaya dan sistem nilai itu yang telah menggerakkan mereka begitu pantas sehinggakan meninggalkan kebanyakan negara maju jauh (mengekori) di belakang," katanya.

Dr Mahathir menyampaikan ucaptama di "Seminar Antarabangsa sempena Sambutan 30 Tahun Dasar Pandang Ke Timur: Kemampanan dan Kejayaan" di sini hari ini. 

Beliau berkata, perlu ada universiti dan pusat latihan Jepun dan Korea yang diuruskan sendiri oleh negara berkenaan, dibina di negara ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat mempelajari budaya dan sistem nilai mereka daripada menghantar ke seberang laut dengan kos yang sangat tinggi. 

Dr Mahathir berkata, universiti tersebut perlulah replika kepada apa yang ada di negara mereka daripada segi seni bina, landskap dan bahasa yang digunakan. 

"Jika universiti itu terletak di Malaysia, ianya lebih murah tetapi seluruh persekitarannya akan seperti di Jepun. 

"Oleh yang demikian, rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan boleh belajar di universiti itu. Bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan warga asing dari negara-negara membangun juga mampu masuk ke universiti ini. 

"Dengan menyerap budaya orang lain tidak akan mengubah kita. Kita masih orang Malaysia. Kita telah menerima banyak budaya barat namun kita masih kekal sebagai Melayu, Cina dan India Malaysia. Kita tidak rugi apa-apa," katanya. 

Dr Mahathir berkata, Visi 2020 juga boleh dicapai, jika rakyat Malaysia benar-benar mahu mencapainya, dan belajar daripada Jepun dan Korea bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut. 

Kedua-dua Dasar Pandang Ke Timur dan Visi 2020 itu diilhamkan beliau semasa menjadi Perdana Menteri. 

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Duta Jepun dan Naib Menteri Korea mengalu-alukan idea bagi penubuhan unversiti-universiti berkenaan di Malaysia. 

Duta Jepun, Shigeru Nakamura berkata universiti dan kolej di Jepun sedang menimbangkan secara serius menubuhkan cawangan dan ibu pejabat mereka di seberang laut yang setakat ini sudahpun ada di Eropah dan Amerika Syarikat, dan diharapkan di Malaysia sedikit masa lagi. 

Naib Menteri Pentadbiran Awam dan Keselamatan Republik Korea, Dr Seo Pil-Eon, pula berkata beliau mengakui pentingnya perkongsian pengalaman antara kedua-dua negara dan sehubungan itu bersedia menimbangkan penubuhan sebuah kampus universiti di sini. 

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, bertujuan meneliti pelaksanaan dasar tersebut sepanjang 30 tahun selain menyediakan ruang berkongsi pandangan dan idea serta membincangkan tentang kejayaan dan masa depannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment