My Add

Sunday 24 June 2012

DOSH perlu pastikan majikan patuh syarat Konvensyen ILO

SHAH ALAM, AHAD, 24 Jun, 2012: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) di bawah Kementerian Sumber Manusia perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan majikan mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kata naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam hari ini. 

Ketika mengalu-alukan langkah Malaysia mengesahkan konvensyen itu, Balasubramaniam berkata, DOSH tidak boleh teragak-agak mendakwa majikan yang tidak mematuhi prosedur keselamatan dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sedia ada dalam memupuk persekitaran pekerjaan yang selamat dan sihat.

"Dengan langkah itu, saya harap kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang diwajibkan bagi majikan dan untuk memastikan tempat kerja sentiasa berada dalam keadaan selamat serta bebas daripada bahaya dan kemalangan.

"Kini wujud keadaan yang membimbangkan berikutan meningkatnya kes penyakit yang berpunca daripada pekerjaan dan kecacatan kekal akibat kecederaan di tempat kerja," katanya dalam temu bual eksklusif. 

Pada 8 Jun, Malaysia mengesahkan Konvensyen ILO mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk menyertai negara maju yang mementingkan langkah untuk menjamin keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, bahawa dengan menandatangani konvensyen itu, Malaysia juga bersetuju diawasi ILO berkaitan langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta mematuhi standard tingi yang ditetapkan pertubuhan berkenaan. 

Subramaniam berkata, memandangkan Malaysia mempunyai dasar menyeluruh berkaitan keselamatan untuk memastikan langkah keselamatan dapat dilaksanakan serta dipatuhi di semua tempat kerja, maka sudah sewajarnyalah ia mengesahkan konvensyen tersebut. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor pembinaan perlu berada di barisan hadapan dalam menjamin keselamatan di tempat kerja kerana ia dikategorikan sebagai bidang berisiko tinggi daripada segi kemalangan di tempat kerja. 

"Risiko kemalangan berkaitan kerja di Malaysia dianggap tinggi, jika diambil kira jumlah perkerja yang kita ada," katanya. 

Beliau berkata, kemalangan berkaitan tempat kerja di Malaysia terus meningkat, dengan 57,639 kes dilaporkan pada 2010, berbanding 55,186 pada 2009. 

Katanya, angka itu berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment