My Add

Sunday 24 June 2012

Guan Eng perlu ingat sejarah: Azhar Ibrahim

KEPALA BATAS, AHAD, 24 Jun, 2012: UMNO Pulau Pinang mengingatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya jangan sombong dan angkuh kerana sejarah sudah membuktikan DAP pernah mengalami kekalahan dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini. 

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata, kekalahan parti DAP terbukti apabila mereka hanya memenangi satu kerusi pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

"Beliau (Lim) jangan besar kepala sangat dengan tsunami politik pada 2008 iaitu menewaskan Barisan Nasional (BN) di negeri ini kerana sejarah pernah merekodkan mereka (DAP) pernah menang satu saja kerusi pada 1990 selepas menang lebih 15 kerusi pada pilihan raya sebelum itu.

"Lim juga usahlah mendabik dada untuk menjadikan kerusi BN kosong kerana BN mempunyai kekuatan tersendiri dan kita akan mempertahankan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum akan datang," katanya di sini, hari ini. 

Sementara itu, Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga berkata, Ketua Bahagian Kepala Batas yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah mengemukakan nama calon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi calon di Penaga. 

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memilih calon yang berwibawa bagi memenangi kawasan itu tetapi senarai nama yang dihantar itu adalah winnable candidate. 

"Saya sudah lalui pilihan raya umum lima kali dan calon PAS tidak pernah menang di Penaga dan saya yakin BN mampu pertahankannya," katanya. 
Azhar yang juga Ketua Pembangkang Pulau Pinang, baru-baru ini mengumumkan tidak akan mempertahan kerusi Penaga yang dipegangnya sejak 22 tahun lalu. 

Beliau menjelaskan tempoh untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat sudah sampai ke penghujung dan sudah tiba masa tempatnya diganti oleh pelapis muda yang layak berbakti untuk rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment