My Add

Thursday 21 June 2012

Dua anggota sindiket gores dan menang ditahan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Jun, 2012: Dua wanita ditahan, dipercayai anggota sindiket terlibat dalam aktiviti gores dan menang, yang melibatkan nilai penipuan terhadap mangsa berjumlah RM390,625.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, dua wanita tempatan itu berumur 19 dan 23 tahun, ditahan di Terminal Bersepadu Tasik Selatan (TBS) semalam ketika leka mengedarkan kad gores dan menang kepada orang ramai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua wanita terbabit sebelum ini pernah ditahan penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Suspek kemudian dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti gores dan menang di bawah Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 1972,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abu Samah berkata, di bawah akta ini, jika disabitkan kesalahan, denda bagi suatu pertubuhan perbadanan adalah tidak melebihi RM500,000 dan bagi individu pula tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment