My Add

Wednesday 13 June 2012

Fatwa haramkan BERSIH 3.0 tidak dikeluarkan: Mashitah

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Jun, 2012: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung pengharaman demonstrasi jalanan di ibu negara pada 28 April lalu seperti mana yang didakwa parti pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim (gambar), berkata jawatankuasa itu sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan media sebagai nasihat daripada anggota muzakarah jawatankuasa berkenaan yang bersidang awal bulan lalu.

"Perkara ini sudah dipersetujui oleh semua ahli muzakarah supaya nasihat mengenai pembabitan umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan yang membawa kerosakan dan musibah kepada negara dikeluarkan melalui satu kenyataan media," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mashitah berkata demikian ketika menjawab ucapan penangguhan oleh Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengenai fatwa pengharaman perhimpunan jalanan yang didakwa dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Menjelas lanjut Mashitah turut menegaskan bahawa anggota jawatankuasa itu yang dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai sebarang kepentingan politik melainkan untuk kepentingan agama dan ummah.

"Oleh itu nasihat jawatankuasa fatwa adalah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dan tidak terikat dengan kepentingan individu mahupun mana-mana organisasi," katanya.

Mashitah berkata, antara isi kandungan kenyataan media itu menyebut anggota muzakarah memandang serius tindakan sebahagian masyarakat, khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti mana yang berlaku pada demonstrasi itu yang membawa kerosakan dan musibah kepada negara. 
"Sebagai umat Islam seharusnya kita mensyukuri keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah dinikmati dan diwarisi sekian lama.

"Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi tunjang pegangan kita sebagai umat Islam di Malaysia sejak sekian lama wajib kita pertahan daripada apa jua anasir negatif kerana pegangan inilah yang menjadi perisai kepada umat Islam daripada terjebak dengan perlakuan yang dimurkai oleh Allah dan rasulnya," katanya.

Mashitah berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa perlu menggadai keamanan negara.

Justeru, mereka yang terbabit dalam demonstrasi itu khususnya umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa perbuatan itu bukan ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya secara tidak hak mengancam nyawa sesama manusia, menimbulkan huru hara dan merosakkan negara demi mencapai sesuatu agenda, katanya.

Persidangan disambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment