My Add

Sunday 24 June 2012

H1N1: 2 pelatih PLKN masih dirawat di hospital

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 20122: Hanya dua daripada 18 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) masih dirawat di hospital kerana jangkitan virus Influenza A (H1N1), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, baki 16 pelatih sudah sihat dan mereka pulang ke kem latihan masing-masing bagi meneruskan latihan seperti biasa.

"Kita sentiasa memantau keadaan kem latihan dari semasa ke semasa bagi memastikan kem latihan bebas daripada virus H1N1," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-47, di Kem Sungai Buloh di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lalu, 18 pelatih di kem Dusun Resort, Kuala Nerang dimasukkan ke hospital Kuala Nerang kerana jangkitan H1N1 manakala 78 pelatih lagi dikuarantin dalam blok khas kem kerana menunjukkan tanda jangkitan H1N1.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan mewajibkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia menyertai PLKN, Zahid berkata, perkara itu akan diteliti dan dikaji oleh kerajaan terlebih dulu.

"Kita lihat dari pelbagai aspek dan kena lihat juga dari keseimbangan kewangan negara, secara ideal saya rasa ia patut dilakukan tetapi secara praktikal kita kena lihat dulu kemampuan kewangan negara," katanya.

Zahid berkata, apa yang cuba dilakukan kerajaan pada masa kini ialah menerapkan seramai 620,000 bekas pelatih PLKN untuk menjadi badan sukarelawan supaya segala bentuk ilmu dan latihan yang dipelajari mereka dapat dipraktikkan. 

Beliau menambah pihak kabinet memperuntukkan RM11 juta pemberian elaun kepada alumni PLKN yang bergiat aktif dalam badan sukarelawan.

"Kita akan mendaftarkan sebahagian alumni ini untuk bergiat aktif di setiap peringkat badan sukarela dan ini adalah apa yang ingin dilakukan kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment