My Add

Thursday 21 June 2012

Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menangani isu kekurangan guru terlatih di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan guru di kedua-dua sekolah itu dipengerusikan secara berasingan oleh dua Timbalan Menteri Pelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil persatuan dan pertubuhan bagi masyarakat Cina dan Tamil serta kesatuan guru bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.

Bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa langkah turut diambil, antaranya memastikan guru mempunyai kelayakan dwibahasa termasuk bahasa Cina atau Tamil untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris Tahap 1.

"Selain memastikan guru kelas pemulihan mempunyai kelayakan dwibahasa, kementerian menempatkan 98 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kepujian bahasa Cina ke SJKC dan 18 graduan yang mempunyai kepujian dalam bahasa Tamil ke SJKT pada 23 Mei lalu," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment