My Add

Sunday 3 June 2012

Kumpulan pertama amah Indonesia sedia berkhidmat

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Jun, 2012: ''Saya kecewa apabila khidmat pembantu rumah ke Malaysia dihentikan kerana saya dan rakan-rakan amat berharap dapat peluang bekerja di negara ini, namun syukur hari ini, hasrat kami tercapai juga.''

Begitulah reaksi Sanah Saleh Dakiman, 29, dari Lombok Tengah dekat Jawa Timur, Indonesia yang merupakan antara 29 amah kumpulan pertama dari negara itu diambil bekerja di negara ini melalui memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara November tahun lalu.

''Pada latihan baru ini, kami diajar membersih rumah dengan cara yang betul, belajar memahami bahasa Melayu dan budaya masyarakat Malaysia, sebelum ini, saya anggap perkara ini tidak penting," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan amah Indonesia kepada majikan anjuran Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) di sini hari ini.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara amah pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kes penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Selain Sanah, rakannya, Supinah Ceee August, 34, berkata, dia tidak kisah jika diminta majikan untuk menjaga bayi atau warga emas yang uzur walaupun bidang kerjanya dihadkan mengemas rumah serta memasak.

''Dalam latihan sebelum ini, kami sudah diajar mengasuh bayi dan menjaga ibu bapa majikan yang uzur, jadi, selepas ini memang tiada masalah untuk melaksana kerja tersebut," katanya.

Sulastri Musriatin, 34, dari Kediri pula berkata, masalah komunikasi menjadi penyebab utama berlaku salah faham dan menjejaskan hubungan baik antara amah dan majikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment