My Add

Wednesday 20 June 2012

Malaysia akan umum inisiatif bioteknologi: Ongkili

BOSTON, RABU, 20 Jun, 2012: Inisiatif Bioekonomi Malaysia, yang menggariskan pelan menyeluruh bagi menggalakkan pengkomersilan dalam industri bioteknologi, dijangka diumumkan pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) akan datang. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual berlangsung sama ada Julai atau Ogos.

Selain inisiatif ini, sekurang-kurangnya enam projek baru (EPP) mengenai bioteknologi dijangka diumumkan pada mesyuarat itu.

"Kerangka kerja itu diumumkan pada konvensyen bio tahun lepas dan kandungannya, termasuk EPP, dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri pada mesyuarat ICM," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pelancaran Pavalion Malaysia di BIO Boston 2012 di sini hari ini. 

Antara bidang tumpuan utama ialah bioteknologi perubatan, pengeluaran vaksin, peranti perubatan dan biofarmaseutikal; industri bioteknologi seperti tenaga dan bio berasaskan kimia, dan bioteknologi pertanian, sebahagian besarnya membabitkan genom. 

Inisiatif Bioekonomi Malaysia, yang akan memanfaatkan keseluruhan ekosistem bioteknologi dan rangkaian nilai yang berkaitan, dijangka menjana 20,000 peluang pekerjaan menjelang 2020. 

Ongkili kini mengetuai delegasi 80 anggota ke Konvensyen Antarabangsa BIO-BIO Boston 2012, perhimpunan terbesar dunia membabitkan seramai 15,000 peserta yang membabitkan profesional bioteknologi, pemimpin perniagaan, saintis dan pembuat dasar. 

Perwakilan juga termasuk Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi Bahagian Industri Sains Hayat Jaswant Singh dan Majli Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Datuk Jebasingam Issace John. 

Sementara itu, Ongkili berkata setakat ini, lapan syarikat bioteknologi asing menyuarakan minat untuk melabur di Malaysia. 

"Mereka terdiri daripada syarikat di US, Eropah dan Perancis yang sebahagian besar terlibat dalam pengeluaran vaksin, peranti perubatan, kimia berasas bio. Kami sedang mengukuhkan kedudukan, oleh itu kami tidak mahu banyak bercakap," katanya. 

Perkembangan lanjut mengenai perbincangan itu dijangka diumumkan pada akhir BIO Boston, yang berakhir esok (Khamis). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment