My Add

Friday, 22 June 2012

Malaysia pintu masuk PKS ke Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia bersedia serta mampu menjadi pintu masuk utama buat para pelabur, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh dunia melebarkan perniagaan mereka ke negara ini dan Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata, ini kerana, kerajaan telah menyediakan persekitaran amat kondusif buat sektor PKS berkembang maju melalui pelbagai dasar yang mesra pelabur.

Menurut beliau, komitmen itu terbukti melalui pelaksanaan Pelan Induk PKS oleh kerajaan yang antara lain menggalakkan penggunaan inovasi dan teknologi dalam perusahaan serta perniagaan masing-masing.

Selain itu, katanya, Malaysia amat serius dalam perkembangan PKS apabila menganjurkan Pameran Inovasi PKS (SMIDEX) sejak 15 tahun lalu dengan mengiktiraf syarikat tempatan yang cemerlang melalui pelbagai anugerah serta peluang padanan perniagaan dengan syarikat luar.

"SMIDEX telah menjadi acara perdana negara ini sejak 15 tahun lalu dan ia terbukti berjaya mengetengahkan produk serta perkhidmatan PKS termasuk kejayaan utama iaitu menyediakan padanan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada SMIDEX 2012, seterusnya merasmikan Persidangan PKS ASEAN-India dan Minggu PKS 2012 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyertai sidang video bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bagi mendengar perkembangan PKS di kedua-dua negeri berkenaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, Malaysia berbesar hati dan bersedia menjadi tuan rumah Persidangan PKS ASEAN-India yang julung kali diadakan tahun ini.

Kata beliau, pelaburan India di Malaysia telah meningkat kepada RM98 juta tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, dengan melibatkan operasi 77 syarikat dari India termasuk 70 syarikat usaha sama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment