My Add

Thursday 14 June 2012

Malaysia setuju wujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas

SEOUL, RABU, 13 Jun, 2012: Kerajaan Korea Selatan menyarankan Malaysia mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara tanpa melibatkan ASEAN, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Hwang-sik itu pada dasarnya dipersetujui oleh beliau, tetapi kini sedang dibincang di peringkat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum diputuskan Julai ini.

''Mereka (Korea Selatan) berpendapat FTA antara Malaysia dan republik itu adalah lebih baik dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan dua hala.

''FTA itu membolehkan Korea Selatan menokok-tambah apa-apa saja kemudahan baik dari segi cukai pasaran, akses kepada pasaran kerana Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk republik itu," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini berhubung kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Korea Selatan dan 18 kapten industri republik itu sebelum mengakhiri lawatan kerja beliau di Korea Selatan.

Korea Selatan sebelum ini tidak mempunyai FTA yang spesifik dengan Malaysia kecuali FTA bersama kumpulan ASEAN yang merangkumi negara-negara anggota pertubuhan itu.

Muhyiddin berkata, Korea Selatan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpotensi untuk mereka mengembangkan pasaran bukan sahaja secara dua hala tetapi untuk pasaran negara ketiga sama ada dalam ASEAN atau di sekitar rantau Asia Tenggara.

''Mereka (Korea Selatan) membuat perbandingan dengan China di mana kos meningkat secara mendadak manakala di Malaysia pula kos agak stabil dan ia menjadi daya tarikan kepada republik tersebut,"katanya.

Sehubungan itu Korea Selatan jelas beliau, amat yakin pendekatan menerusi FTA antara kedua- dua negara akan meningkatkan lagi bidang ekonomi Malaysia.

Pada sidang akhbar itu juga, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan pelaburan baru dari syarikat-syarikat Korea Selatan ke Malaysia yang bernilai RM3 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Selain itu tambah beliau, Kumpulan Hana dari Korea mungkin akan membuat pelaburan besar dalam sektor perkhidmatan perbankan dan insurans yang akan diputuskan tidak lama lagi.

Beliau berkata, syarikat-syarikat Korea mengambil keputusan untuk melabur kerana telah selesa dengan pasaran di Malaysia dan kerajaan juga tidak menimbulkan banyak masalah kepada mereka.

''Dalam satu pertemuan saya dengan 18 kapten industri Korea, hampir kesemua mereka telah melabur dan menyatakan untuk menambah pelaburan di Malaysia seperti syarikat Kiswire, iaitu syarikat pengeluar wayar terbesar yang akan membuat pelaburan baru bernilai RM1.8 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

''Malah saya akan merasmikan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kiswire yang telah lebih 23 tahun bertapak di Pasir Gudang pada bulan depan," katanya.

Namun katanya, dalam keselesaan syarikat Korea di Malaysia, mereka telah membangkitkan tentang bekalan sumber tenaga elektrik di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

''Mereka (syarikat Korea) berminat untuk melabur ke sana (SCORE) tetapi mereka minta supaya Kerajaan Pusat berunding dengan kerajaan negeri mengenai dua perkara iaitu tentang bekalan yang dijamin berterusan dan harga yang ditawarkan mestilah kompetitif," kata beliau.

Katanya, sehubungan itu beliau telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membantu syarikat-syarikat Korea yang mahu melabur di SCORE. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment