My Add

Thursday 14 June 2012

Korea Selatan sedia tawar perkongsian teknologi

  
*MUHYIDDIN Yassin yang baru pulang dari lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan berbual dengan penasihat kepada Perdana Menteri Thailand, Datuk Suthiphan Sririkanon semasa menerima kunjungan hormat delegasi dari Thailand di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAM

Fauzi Jaafar
SEOUL, RABU, 13 Jun, 2012:Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Korea Selatan bersedia menawarkan perkongsian teknologi dalam usaha membantu Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesediaan negara itu dalam membantu Malaysia jelas menunjukkan hubungan rapat yang telah terjalin sejak 50 tahun lalu.

‘‘Perkongsian teknologi itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Hwang-sik semalam.

‘‘Nampaknya ini hubungan kita yang terbaik dalam sejarah kedua negara dengan lawatan peringkat tertinggi dan saya juga telah mempelawa beliau untuk melawat Malaysia dalam masa yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan.

Muhyiddin berkata, perkongsian tenaga yang ditawarkan oleh Perdana Menteri Korea Selatan ialah membabitkan bidang teknologi nuklear untuk menjana tenaga di Malaysia.

Beliau berkata, walaupun Malaysia belum membuat keputusan berhubung penggunaan tenaga nuklear, Korea Selatan sedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka jika Malaysia bersedia.

‘‘Mereka telah pun menggunakan sumber tenaga menerusi teknologi nuklear dan yang terbaru laporan IAEA mengesahkan loji- loji nuklear yang dibangunkan di Korea Selatan masih selamat," katanya.

Kata Muhyiddin, kerajaan memerlukan kajian yang lebih mendalam selain perlu memberi pendidikan yang secukupnya supaya rakyat lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan proses nuklear untuk menjana tenaga.

Dalam hal itu, kajian mendalam juga perlu dijalankan untuk mengkaji sama ada sumber yang sedia ada iaitu penjanaan tenaga berasaskan hidro, solar dan angin masih mempunyai potensi untuk dikembangkan.

‘‘Apa pun kita percaya, setelah kerajaan membuat kajian yang mendalam nanti kerajaan akan putuskan sama ada guna tenaga ini (nuklear) dan kalau ya (gunakan tenaga nuklear) bilakah masa yang sesuai.

Dalam pertemuan tersebut juga beliau berkata, usaha untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara turut dibincangkan hasil daripada memorandum yang telah dimeterai sebelum ini.

‘‘Malaysia mahu menjadi hab pendidikan serantau dan bersedia menerima lebih ramai pelajar dari Korea untuk melanjutkan pengajian di Malaysia terutama dalam pengajian bahasa Inggeris,’’ katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 300 pelajar Malaysia di Korea Selatan dan lebih 3,000 pelajar republik itu yang menuntut di Malaysia.

Muhyiddin juga menyampaikan hasrat kepada Perdana Menteri Korea Selatan untuk mendapatkan kerjasama dalam menyokong cadangan Malaysia menjadi ahli bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Jawatankuasa Hak untuk Kanak-kanak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment