My Add

Sunday 24 June 2012

Malaysia sudah jadi tuan rumah unggul sukan antarabangsa

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Jumlah besar peserta antarabangsa yang mengambil bahagian dalam Maraton Standard Chartered KL 2012 membuktikan bahawa Malaysia telah menjadi tuan rumah yang unggul bagi acara sukan antarabangsa. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga menunjukkan bahawa warga asing berasa selesa dan yakin dengan cara acara sukan dianjurkan di negara ini.

Beliau berkata demikian sejurus melepaskan 28,000 peserta Maraton Standard Chartered KL 2012 dekat Tuga Negara di sini.

Daripada jumlah itu, 1,000 peserta adalah dari luar negara termasuk Kenya, United Kingdom, Sweeden, Switzerland, Perancis dan Singapura. 

"Saya melihat ramai golongan muda Malaysia pada hari ini dan ini adalah cara terbaik untuk menunjukkan kepada warga asing dan juga dunia betapa kukuhnya perpaduan di kalangan generasi muda Malaysia yang bersatu. Acara seperti ini amat baik untuk negara kita," katanya. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, maraton itu adalah satu cara baik untuk mempromosikan Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai venue bagi kejohanan antarabangsa. 

"Ini menunjukkan kepada negara luar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kemampuan menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa. 

"Acara peringkat antarabangsa seperti ini juga peluang bagi Malaysia mencerminkan kemesraan penduduk negara kita dan keamanan serta kemajuan yang dicapai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment