My Add

Thursday 14 June 2012

Misi kurangkan kadar jenayah

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus mendengar dan menangani kebimbangan rakyat terhadap kadar jenayah di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, walaupun sesetengah rakyat beranggapan bahawa jenayah masih berleluasa, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan percanggahan antara persepsi tersebut dengan keadaan realiti mengenai jenayah yang semakin bertambah baik.

Jelas beliau, kerajaan juga akan terus mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan kadar jenayah bagi memastikan keselamatan rakyat.

''Namun, kita semua memainkan peranan dalam hal ini. Justeru, saya menggalakkan rakyat daripada individu sehingga masyarakat untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran, masyarakat dan seterusnya negara yang lebih selamat,'' katanya di dalam blognya, http://1malaysia.com.my di sini hari ini.

Najib berkata, isu-isu berkaitan jenayah sememangnya mendapat liputan penting dalam media dan ia secara semula jadi membawa kebimbangan kepada rakyat.

Oleh itu, ujarnya, salah satu pencapaian negara yang harus dibanggakan adalah kedudukan dalam Indeks Keamanan Global dengan Malaysia diletakkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara.

''Walaupun begitu, tiada ruang bagi kita untuk berpuas hati dalam hal ini kerana pasti ada sekumpulan kecil yang akan melanggar peraturan demi kepentingan mereka sendiri,'' katanya.

Ujar beliau, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membanteras jenayah, ia mempunyai beberapa sasaran khusus untuk mengurangkan jenayah, selain bermatlamat meningkatkan prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

NKRA tersebut, katanya, bertujuan untuk mengoptimum sumber dan memberi tumpuan kepada jenayah biasa yang tertentu.

''Sebagai contoh, kecurian kenderaan yang merupakan jenayah paling kerap berlaku telah dikenal pasti dan ditangani dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap di kawasan perumahan, tempat meletak kenderaan serta penguatkuasaan terhadap bengkel haram yang menyumbang kepada kecurian tersebut.

''Kita bernasib baik kerana di Malaysia kita terlepas daripada jenayah besar, berkat daripada kecekapan pasukan anti pengganas PDRM. Banyak daripada kemajuan dalam mengurangkan jenayah jalanan merupakan hasil daripada pengembangan program-program Kehadiran PDRM dan Bandar Selamat,'' katanya.

Menurut Najib, dari segi kakitangan pula, negara kini mempunyai lebih tiga juta sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang bekerja sepanjang masa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment