My Add

Thursday 14 June 2012

NGO disaran tubuh rumah pemulihan akhlak remaja lelaki

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Badan Bukan Kerajaan (NGO) disaran mewujudkan rumah pemulihan akhlak untuk remaja lelaki yang terlibat dalam kes penganiayaan terhadap remaja perempuan.

Seorang pendakwah bebas, Normala Mohamad Shari, 43, berkata, jika sebelum ini rumah perlindungan atau pemulihan akhlak telah banyak dibuka kepada remaja perempuan yang dianiayai seperti mengandung anak luar nikah dan rogol, pemulihan akhlak untuk remaja lelaki juga perlu diwujudkan.

"Jika yang perempuannya (remaja) ada rumah perlindungan atau tempat untuk memperbaiki akidah masing-masing, mengapa tidak diwujudkan (rumah) untuk kaum lelaki yang terjebak dengan jenayah dan moral pula.

"Kita seakan-akan membiarkan kes ini berterusan kerana akidah lelaki tidak diperbetulkan dan hanya memfokus untuk membantu pihak perempuan sahaja," katanya semasa ditemui di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, dekat sini semalam.

Normala berkata, jika akhlak dan moral remaja lelaki tersebut tidak dipulihkan, mereka tidak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan terhadap dosa dan kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini.

"Pihak lelaki seakan terlepas, contohnya selepas merogol atau mengadakan hubungan seks dengan pasangan masing-masing. Akhirnya pihak perempuan yang menanggung penderitaan dan trauma selama-lamanya.

"Bagaimana dengan remaja lelaki ini? Mereka mungkin terlepas begitu sahaja kerana bawah umur, dan tidak mustahil akan mengulanginya (merogol) lagi dan lagi dengan remaja perempuan lain pula. Itu yang kita takutkan... kes rogol dan perzinaan ini akan berterusan sampai bila-bila," katanya.

Normala, yang juga fasilitator di Baitul Fiqh, menegaskan rumah pemulihan akhlak adalah berbeza dengan sekolah khas kepada remaja lelaki yang bermasalah dari segi sosial dan moral.

"Jika sekarang kita ada sekolah yang khas kepada remaja lelaki yang pernah melakukan jenayah, rumah pemulihan ini pula berbeza dan memberi fokus kepada pemulihan akidah dan mereka diajar secara insaniah untuk memperbaiki akhlak masing-masing," katanya.

Beliau berkata, antara pengisian pembelajaran yang boleh dimasukkan sekiranya rumah pemulihan untuk remaja lelaki bermasalah itu diwujudkan kelak adalah ceramah agama, sesi kaunseling, muhasabah diri serta asas agama seperti menghafaz al-Quran dan solat sunat.

Rumah perlindungan Baitul Fiqh beroperasi sejak 2005 yang bertujuan membantu golongan remaja perempuan dianiayai, seperti dirogol dan mengandung anak luar nikah, dengan memberi pemulihan dari segi akhlak dan akidah mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment