My Add

Wednesday 13 June 2012

Noh cabar kerajaan Selangor ambil tindakan terhadap kroni

KUALA LUMPUR, RABU, 13 jUN, 2012: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mencabar kerajaan Selangor untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kroni mereka yang terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor membidas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa mempertahankan kroni dalam pentadbiran kerajaan negeri meskipun terlibat dalam penyelewengan.

"Kerajaan Selangor mengamalkan kronisme, hingga kini tiada tindakan langsung diambil terhadap mereka termasuklah Pengurus Besar Yayasan Selangor(YS) Ilham Marzuki yang mengaku membelanjakan wang YS dengan boros.

"Apa tindakan terhadap beliau?...Stail pembangkang, kroni akan dipertahankan tetapi saya cabar Khalid agar mengambil tindakan terhadap kroninya itu termasuk memecatnya dari jawatan yang dipegangnya sekarang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mac lalu, media melaporkan bahawa Abdul Khalid terus mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu meskipun syarikat kerajaan negeri itu berhadapan masalah pengurusan kewangan termasuk defisit RM7.41 juta, tahun lalu.

Ilham sebelum ini mengakui melakukan kesilapan kerana meluluskan peruntukan RM1.4 juta untuk kegiatan tidak berfaedah serta tiada kaitan dengan fungsi yayasan itu sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan.

Antara kegiatan itu adalah jamuan makan perdana sebanyak RM270,750, pertandingan memancing RM179,000, cenderamata RM52,900 dan majlis berbuka puasa RM396,370.

Noh berkata kerajaan Selangor hanya berlagak seperti hero kononnya memperjuangkan pembangunan pendidikan di Selangor sedangkan mereka gagal membela dan membangunkan pendidikan di negeri itu kerana kepentingan politik.

Katanya, malah kerajaan Selangor sanggup menjual harta dan mencairkan aset untuk menampung kerugian disebabkan pentadbiran yang tidak cekap dalam membangunkan pendidikan.

"Mereka sanggup merobohkan asrama YS dan menjual tanah YS di Kampung Pandan demi kepentingan mereka dan saya dimaklumkan pelajar-pelajar terpaksa berpindah keluar malah YS juga tidak lagi mengambil pelajar dari luar bandar untuk ditempatkan di asrama " katanya.

Beliau berkata tindakan kerajaan Selangor menolak penubuhan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah juga seakan menggadai dan mengorbankan peluang keemasan yang patut diberi pada rakyat Selangor.

"Penubuhan UiTM cawangan Selangor telah diluluskan kerajaan dan telah mempunyai tapak namun kerana kepentingan politik, kerajaan Selangor sanggup menolak.. tidak ada satu pun sumbangan besar mereka dalam bidang pendidikan yang boleh membela dan membangunkan pendidikan di Selangor," katanya.

Beliau turut mencabar Khalid agar mengisytiharkan kerugian yang ditanggung Universiti Selangor sepanjang pembangkang memerintah negeri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment