My Add

Tuesday 26 June 2012

PDRM pertingkat sistem komunikasi

KUALA TERENGGANU, SELASA, 26 Jun, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses menambah baik sistem komunikasinya yang diguna pakai di seluruh negara yang akan siap menjelang akhir tahun depan. 

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata projek yang bernilai kira-kira RM1 bilion itu sudah dimulakan tiga tahun lalu.

Katanya, ia sudah dilaksanakan di negeri-negeri pantai barat dan kini sistem berkenaan bakal diperluaskan ke pantai timur bagi membolehkan pihak polis menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap.

"Negeri-negeri di pantai barat sudah mula menggunakan sistem ini, selepas ini kami berharap negeri-negeri di pantai timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan akan dapat menggunakannya sebelum akhir tahun ini. 

"Kami menjangka sistem ini akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada kakitangan polis Terengganu di sini, hari ini. 

Katanya, sistem baru yang bakal digunakan itu membolehkan operasi polis setiap negeri dapat dipantau dari mana-mana tempat di negara ini. 

"Sebagai contoh, Ketua Polis Negara boleh memantau operasi di Terengganu dari Bukit Aman melalui sistem komunikasi yang dilaksanakan ini. 

"Sebelum ini, sistem komunikasi yang digunakan adalah agak terhad tetapi dengan sistem baru, ia tidak mempunyai sempadan," katanya. 

Beliau berkata, sistem baru itu juga akan membolehkan pihak polis untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang. 

Beliau juga berkata, pihak polis sudah melakukan persiapan seperti melengkapkan kakitangan di seluruh negara dengan peralatan yang diperlukan terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. 

Katanya, pasukan polis di semua negeri akan dibekalkan dengan peralatan logistik yang mencukupi bagi menghadapi pilihan raya umum itu nanti. 

"Kita mahu anggota kami bersedia apabila pilihan raya berlaku," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment