My Add

Tuesday 26 June 2012

PNB isytihar agihan pendapatan 6.5 sen ASN2

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012 : Permodalan Nasional Bhd (PNB), melalui Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012. 

Ia adalah peningkatan sebanyak satu sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit yang diumumkan tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM11.9 juta yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh seramai 8,483 pemegang unit yang melanggan 183 juta unit ASN 2.

Ahmad Sarji berkata, prestasi ASN 2 sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012 secara keseluruhannya memuaskan meskipun pasaran saham dan ekonomi dunia mengalami suasana ketidaktentuan didorong oleh krisis hutang zon euro yang berterusan. 

"Indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 1.52 peratus daripada 1,579.07 mata yang dicatatkan pada 30 Jun 2011 kepada 1,603.07 mata yang dicatatkan pada 22 Jun 2012," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini. 

Sehingga 22 Jun 2012, ASN 2 juga memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM15.08 juta dan pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM10.07 juta atau 66.8 peratus daripada pendapatan kasar manakala pendapatan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM3.25 juta atau 21.5 peratus. 

Beliau berkata, pendapatan selebihnya iaitu RM1.76 juta atau 11.7 peratus diraih daripada pelaburan lain. 

Katanya, semua urus niaga bagi ASN 2 di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 22 Jun 2012 sehingga 1 Julai 2012 bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, juga mengumumkan bahawa had pelaburan maksimum bagi Akaun Remaja ASB akan ditingkatkan daripada 10,000 unit kepada 50,000 unit. 

"Langkah ini dibuat bagi menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan untuk anak-anak mereka, dan pada bulan Oktober 2011, ASNB telah pun meminda kelayakan umur pelabur ASB daripada 12 tahun kepada 6 bulan," katanya. 

Mengenai kempen 'Labur On-Line', Hamad Kama Piah berkata, ia terbuka kepada pemegang akaun ASB yang membuat pelaburan melalui perbankan internet menerusi Maybank2u, CIMBClicks, AffinOnline dan RHBNow. 

Kempen ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September 2012. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment