My Add

Thursday 7 June 2012

Pembahagian pusaka selesai dalam tempoh 3 bulan

PUTRAJAYA, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Semua permohonan pembahagian harta pusaka kecil bernilai RM2juta dan ke bawah akan dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan menjelang hujung tahun ini berbanding lima setengah bulan sekarang dan sebelum ini memakan masa setahun. 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Ungah Embas, berkata urusan berkenaan dapat dipercepatkan dengan menggunakan kaedah 'online' www.jkptg.gov.my berbanding sebelum ini secara manual.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Permohonan Online Pusaka Kecil di sini hari ini, beliau berkata sehingga April lalu sebanyak 73.3 peratus permohonan mengikut Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dapat diselesaikan dengan anggaran empat hingga lima ribu permohonan diterima setiap bulan.

"Dengan sistem online ini, kita sudah disambungkan dengan kebanyakan jabatan. Cuma sekarang kita dalam usaha pautan dengan mahkamah. Kita berharap apabila proses itu selesai nanti urusan berkenaan dapat dilakukan dengan lebih cepat," katanya. 

Ungah berkata, permohonan online memudahkan pelanggan membuat semakan status di peringkat pendaftaran, penilaian harta, pengesahan Mahkamah Tinggi, notis perbicaraan atau pengeluaran perintah. 

Beliau berkata, pendekatan secara online perlu seiring dengan pembangunan negara memandangkan kelewatan dalam urusan itu memberi kesan sosial dan ekonomi yang besar terhadap masyarakat dan negara. 

Katanya, pelbagai program dan aktiviti sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu harta pusaka, antaranya kempen kesedaran kepada ahli waris, menyediakan bahan bacaan seperti risalah mengenai pentingnya menyelesaikan masalah harta pusaka dengan segera sebaik berlaku kematian pemilik harta.

"Majlis penerangan dan seminar bagi penghulu dan pemimpin masyarakat juga diadakan agar mereka membantu kerajaan menggerakkan ahli waris tampil menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya. 

Ungah berkata, usaha kerajaan berhasil meningkatkan permohonan kes harta pusaka setiap tahun iaitu sebanyak 44,539 kes direkodkan pada 2008, 48,721 (2009), 51,943 (2010) dan 53,928 (2011). 

Beliau berkata, wang pampasan berjuta ringgit terpaksa didepositkan di Amanah Raya Bhd disebabkan kelalaian ahli waris dalam menyegerakan permohonan pembahagian atau kerana pembahagian pusaka belum dibuat. 

Hadir sama pada sidang itu ialah, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Azemi Kasim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment