My Add

Friday, 22 June 2012

Penggunaan mendadak punca gangguan air di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) hari ini menjelaskan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang kini disebabkan peningkatan mendadak terhadap penggunaan air dan bukannya kerana kekurangan sumber. 

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir Lee Miang Koi, berkata situasi ini menyebabkan semua loji rawatan air sedia ada terpaksa beroperasi pada tahap maksimum bagi menampung jangkaan permintaan air semasa yang semakin meningkat.

"Peningkatan permintaan air dalam beberapa minggu ini mencecah kadar maksimum pengeluaran dan menjangkaui kapasiti pengeluaran loji untuk beberapa hari lalu.

"Disebabkan tahap permintaan yang tinggi ini pula, berlaku penyusutan ketara pada paras air di kolam simpanan utama...ditambah dengan cuaca panas dan kering, ini sekali gus menyebabkan tekanan air rendah dan sebahagian kawasan tidak mendapat bekalan air," katanya kepada pemberita pada sesi penerangan berkenaan status bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini. 

Justeru, Lee berkata pihaknya menolak dakwaan yang mengatakan SYABAS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah gangguan bekalan air yang dihadapi pengguna di sekitar Lembah Klang. 

Katanya, ini kerana apabila jangkaan permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran air terawat, pembinaan loji rawatan air tambahan perlu dilaksanakan lebih awal dan jika tiada langkah diambil, masalah kekurangan air akan berlaku. 

"Sumber air dari sungai dan yang disimpan dalam empangan memang sentiasa mencukupi tetapi ia adalah bekalan air mentah dan tidak boleh diguna pakai secara terus, sebaliknya perlu dirawat bagi menepati piawaian yang selamat untuk digunakan.

"Jadi, kita perlu ada loji rawatan air mencukupi untuk merawat air mentah seterusnya menampung permintaan air yang semakin meningkat, namun SYABAS tiada kuasa untuk membina loji rawatan air baru kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," katanya. 

Lee menegaskan air terawat adalah air yang dibekal dan diselia oleh syarikat operator loji rawatan air seperti Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) yang kemudian dibeli SYABAS untuk diagihkan terus kepada pengguna. 

Beliau berkata, oleh kerana rizab bekalan air bersih semasa yang sangat terhad, SYABAS mengarahkan semua syarikat operator loji rawatan air untuk memaksimumkan kadar operasi semua loji. 

"Di samping itu, kami akan menyusun semula agihan air kepada kawasan yang kekurangan bekalan air bagi mengurangkan kesannya kepada pengguna," katanya. 

Sejak 17 Mei lalu, sebanyak 37 kawasan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Klang dikesan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment