My Add

Friday, 22 June 2012

Penjagaan pemakanan punca nenek 90 tahun masih sihat

KEMAMAN, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Seorang nenek, Siah Said yang berusia lebih 90 tahun dari Kampung Yak Yah di sini bukan sahaja masih sihat tanpa sebarang penyakit, malah turut memiliki daya ingatan yang kuat dan mampu menceritakan semula kisah hidupnya ketika kanak-kanak. 

Ibu kepada empat orang anak itu menegaskan beliau cukup menjaga aspek pemakanan dengan tidak menyentuh makanan dari haiwan darat, sebaliknya hanya makan beberapa jenis ikan iaitu ikan selar, kembung dan tenggiri.
Keempat-empat anaknya sudah meninggal dunia. Yang tinggal kini ialah tujuh cucu dan 20 cicit.

Walaupun berusia dan ada cadangan daripada cucunya untuk menghantarnya ke rumah jagaan orang tua, Siah lebih senang tinggal bersendirian di rumahnya. 

Siah berkata, selagi tubuhnya masih sihat, dia lebih rela menghabiskan sisa hidupnya di rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis bersama arwah suami dan empat anak mereka. 

"Buat apa tok wan nak pindah tempat lain. Tok wan bukan susahkan sesiapa. Tok Wan nak duduk di rumah ini, bolehlah anak cucu tok wan datang lawat bila-bila masa," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Siah juga dilihat masih mampu memasak lauk untuk dirinya dengan membeli barangan dapur dari kedai runcit berdekatan, malah masih mampu berjalan seperti mereka yang berusia 60-an.

"Memang ramai yang bertanya apakah rahsia tok wan masih sihat sehingga ke hari ini. Nasihat tok wan, jagalah apa yang kita makan dan minum kerana itulah yang akan mempengaruhi tahap kesihatan kita bila sudah berusia. 

"Kadang-kadang, tok wan akan berjalan kaki setiap petang ke rumah cucu saudara yang terletak hampir 500 meter di seberang jalan untuk berbual-bual mengisi masa lapang," katanya. 

Sejak kecil, Siah tidak pernah minum ais, minuman berkarbonat atau kopi, sebaliknya hanya menggemari teh 'o' sebagai minuman harian, manakala hanya sejenis buah yang beliau boleh makan iaitu durian. 

Beliau adalah antara penerima sumbangan RM300 setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bersyukur kerana keprihatinan pihak kerajaan di peringkat negeri, daerah dan kampung yang sering melawatnya di rumah untuk bertanyakan khabar. 

Baru-baru ini, penduduk kampung turut bergotong-royong membersihkan persekitaran rumahnya dalam program amal anjuran Umno cawangan Ibok dekat sini sempena kempen kesihatan mencegah pembiakan nyamuk aedes. 

Siah bagaimanapun mengakui ada kalanya sunyi tinggal bersendirian di rumah dan kini hanya menumpang kasih dengan jiran-jiran yang prihatin. 

"Tok wan harap agar kesihatan terus baik supaya tidak menyusahkan orang kerana semua cucu tok wan berada nun jauh di perantauan. 

"Selagi sihat, biarlah tok wan di sini mengabdikan diri dengan perkara-perkara baik untuk jiran, saudara mara dan menambahkan amal ibadah tok wan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment