KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: PETRONAS memeterai tiga kontrak utama bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan Hess Exploration and Production Malaysia BV untuk membolehkan pelaksanaan projek Lembangan Melayu Utara, sebuah pembangunan gas bersepadu yang baru di Semenanjung Malaysia.
Kontrak yang pertama adalah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok luar pesisir PM302 yang dipinda manakala dua lagi kontrak merupakan PSC eksplorasi baru untuk Blok PM325 dan PM326B yang bersebelahan dengan Blok PM302.
Ketiga-tiga PSC tersebut adalah berdasarkan pembahagian ekuiti 50:50 antara PETRONAS Carigali dan Hess Exploration and Production Malaysia.
Projek berkenaan bakal menyaksikan pembangunan dan pengkomersilan rangkaian sembilan medan gas bersama-sama dengan pembangunan hab penggumpulan gas, pemprosesan dan pengangkutan yang baru.
Ia membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 300km dan sebuah peralatan pengasingan daratan baru, yang antara lain mengandungi sebuah sistem penyingkiran gas berasid menggunakan teknologi membran untuk menyingkirkan gas berasid, yang dimiliki bersama oleh PETRONAS, yang pertama seumpamanya akan digunakan di darat.
Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa Sistem Pengeluaran Awal (EPS) diikuti oleh fasa Pembangunan Penuh Medan (FFD).
Gas pertama berjumlah 100 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) di bawah fasa EPS disasarkan untuk Suku Pertama tahun 2013 manakala fasa FFD akan menghasilkan sekitar 300 mmscfd mulai Suku Kedua tahun 2015.
Kira-kira AS$5.2 bilion akan dilaburkan dalam projek Lembangan Melayu Utara melalui pembangunan secara berfasa untuk lima tahun akan datang.
Projek itu akan mengkomersilkan sekitar 1.7 trilion kaki padu standard rizab gas dari kawasan tersebut.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha keseluruhan PETRONAS, termasuk pelbagai inisiatif mempertingkatkan penemuan, untuk meningkatkan jaminan bekalan gas di negara ini.
PSC tersebut ditandatangani di Kuala Lumpur semalam.
PETRONAS diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Wee Yiaw Hin; PETRONAS Carigali oleh Pengarahnya, Encik Effendy Cheng Abdullah, manakala Hess Exploration and Production Malaysia oleh Presidennya, Greg Hill.
Hadir sama, adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Datuk Shamsul Azhar Abbas serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hess, John B Hess. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment