KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi mendedahkan sebahagian rakaman video selama lebih kurang 30 saat dan ejen baru, yang dikenal pasti berhubung proses rundingan bagi membeli ahli parlimen mereka dengan tawaran harga yang lumayan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor III, Khalid Samad (gambar) berkata, risikan dijalankan menunjukkan perbuatan itu bukan perkara baru, malah mereka menyasarkan ahli Parlimen PKR sebagai mangsa.
“Mereka mahu jadikan MP dari PKR sebagai mangsa supaya rakyat boleh melabel PKR sebagai parti yang tidak boleh diharap.
“Mereka takut nak jerat MP dari Pas atau DAP sebab dua parti ini sudah agak lama bertapak.
"Kalau PKR, mereka mahu kaitkan dengan beberapa kes dan mahu parti itu dilabel memiliki reputasi yang buruk,” kata beliau pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, hari ini.
Khalid turut mendedahkan nama seorang lagi individu yang didakwa sebagai ejen iaitu Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah.
Nama bekas Ketua PKR Kedah, Zamil Ibrahim didedahkan dalam sidang media minggu lalu. Zamil menafikan perkara dan mencabar Khalid membuat lebih banyak pendedahan.
Video selama 30 saat itu jelas menunjukkan empat individu sedang berbincang di sebuah restoran berhampiran ibu kota.
Khalid mendakwa, ahli Parlimen itu ditawarkan sebanyak RM2 juta sebagai habuan meninggalkan parti dan tugas sulit itu didalangi Umno.
“Negara sekarang tercabar dengan politik wang. Nilai politik kotor yang akhirnya memberi impak kepada demokrasi berparlimen yang diamalkan.
“Apa maknanya kita dipilih oleh rakyat, tetapi ramai mereka yang banyak duit rasa mereka boleh beli ahli Parlimen untuk rebut kuasa dengan sewenang-wenangnya,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment