My Add

Monday, 4 June 2012

Pihak berkuasa pastikan keselamatan negara: Hishammuddin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan pihak keselamatan akan melakukan segala yang terdaya mengikut undang-undang, demi memelihara keselamatan awam di negara ini sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-13. 

Katanya, andai ada pihak yang bertindak mencetuskan huru-hara ketika negara menghadapi pilihan raya umum, polis akan memastikan ketenteraman awam terjaga, sekalipun ketika itu negara hanya ditadbir kerajaan sementara.

"Apabila mereka sanggup memperalat dan memperkuda pelajar, tidak mustahil sekiranya pilihan raya umum tidak memihak mereka, mereka sanggup menghuru- harakan jalanan di atas nama hak, di atas nama kebebasan atau di atas nama hak asasi. Saya tidak tolak kemungkinan perkara ini berlaku," katanya hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semberong berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Taman Sri Lambak di sini. 

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata pembangkang akan mencetuskan huru-hara jika mereka kalah pada pilihan raya umum akan datang. 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata terdapat kumpulan tertentu yang sanggup menggadaikan kesemuanya termasuk bangsa dan agama serta kedudukan tanah air dalam mengejar cita-cita mereka. 

Sementara itu, beliau berkata video perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan disiar pada Rabu ini akan membuktikan tidak semua yang hadir pada hari tersebut mempunyai niat untuk berhimpun secara aman. 

"Adalah jelas insiden pada 28 haribulan itu bukan bermula pada pagi 28 haribulan itu, tetapi bermula pada 14 April lagi apabila mereka hendak kuasai Dataran Merdeka," kata Hishammuddin. 

"Perhimpunan itu menunjukkan bagaimana segelintir manusia boleh mencetuskan suasana sehingga menjejaskan kesemua yang telah dibina oleh negara selama ini," katanya. 

Bagaimanapun katanya, perhimpunan boleh berlangsung secara aman jika diadakan di tempat khas seperti sambutan ulang tahun UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perhimpunan belia di Putrajaya serta perhimpunan PAS di Stadium Darulaman, Kedah. 

"Mereka boleh duduk di stadium sampai pagi, saya tidak kisah, tetapi jikalau niat mahu melakukannya (berhimpun) di jalanan, niat mereka memang mahu mencetuskan huru-hara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment