My Add

Monday 4 June 2012

Arkib Negara terima sumbangan bahan mengenai P Ramlee

GEORGETOWN, ISNIN, 04 Jun, 2012: Arkib Negara Malaysia (ANM) mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang mempunyai apa juga bahan yang ada kaitan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee untuk menyerahkannya kepada ANM agar dapat dijadikan bahan rujukan dan pameran bagi generasi akan datang. 

Ketua Pengarahnya, Daresah Ismail berkata ANM sedang giat mengumpul dan menambah maklumat mengenai seniman agung itu kerana Allahyarham P.Ramlee adalah tokoh seni dan budaya yang mengakrabkan hubungan antara dunia Melayu.

"Arkib menerima apa juga bentuk bahan sama ada gambar, majalah atau apa sahaja tanda kenangan yang mempunyai kaitan dengan P.Ramlee untuk disimpan dan dipelihara dengan baik," katanya.

Beliau berkata sebelum ini semua bahan atau maklumat yang diperoleh disumbangkan oleh rakan Allahyarham, sangat berguna untuk pengetahuan dan pendedahan mengenai P.Ramlee kepada generasi akan datang. 

Daresah berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program P.Ramlee Dalam Kenangan anjuran ANM yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2012 di Auditorium P.Ramlee, Kompleks Pustaka Warisan Seni di sini hari ini. 

Ditanya mengenai ganjaran yang akan diperoleh orang awam yang menyerahkan bahan mengenai P.Ramlee, beliau berkata: "Arkib sedia berbincang mengenai ganjaran atau bayaran sekiranya ada pihak yang mahukannya tetapi jika ada yang beri secara percuma pun boleh". 

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih dilahirkan pada 22 Mac 1929, adalah seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemuzik dan penulis lagu dan diiktiraf sebagai tokoh seniman agung tanah air. 
Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 dan tarikh itu diisytiharkan sebagai tarikh bagi sambutan Hari Seniman Kebangsaan. 

Program selama tiga hari bermula 2 Jun diadakan dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta pertubuhan bukan kerajaan, bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan orang awam mengenai keunikan serta keistimewaan P.Ramlee. 

Daresah berkata, program itu juga bertujuan menyebar luas maklumat berkenaan P.Ramlee serta memupuk semangat cintakan negara dan warisan seni budaya kepada orang ramai terutama generasi muda. 

"Semangat perpaduan dan cintakan negara sebenarnya banyak dipaparkan oleh P.Ramlee dalam filem-filem arahannya, karyanya mengandungi pelbagai nilai yang merupakan identiti budaya, tamadun dan agama," katanya. 

Dalam program hari ini turut diadakan forum Pemikiran 1Malaysia Dalam Filem Karya Tan Sri P.Ramlee yang dibarisi anggota panel pengkaji filem P.Ramlee iaitu Dr Mahyuddin Ahmad dan pelakon veteran Datuk Abdol Azeez Satta, yang lebih popular dengan nama Aziz Satar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment