My Add

Wednesday 20 June 2012

PM ucap takziah kemangkatan Putera Nayef

*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemu Putera Mahkota Salman Abdul Aziz (kiri) yang juga Menteri Pertahanan ketika memberi penghormatan terakhir kepada Putera Mahkota Nayef Abdul Aziz Al Saud di Jeddah, hari ini. Putera Nayef, 77, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, mangkat di sebuah hospital di Geneva, Switzerland, Sabtu lalu. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah dan simpati kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud atas kemangkatan Putera Mahkota Nayef bin Abdul Aziz Al Saud.

Putera Nayef, 77, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, meninggal dunia di sebuah hospital di Geneva, Switzerland pada Sabtu.

Dalam perutusan ucapan takziah bertarikh 16 Jun kepada Raja Abdullah, Najib berkata kemangkatan Putera Mahkota merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Arab Saudi tetapi juga kepada rantau ini termasuk Malaysia dan umat Islam.

"Saya berasa amat sedih apabila mendapat tahu mengenai kembalinya ke rahmatullah seorang daripada pemimpin kerajaan Arab Saudi yang amat dihormati dan dinamik, Putera Nayef.

"Putera Nayef akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin terkemuka yang semasa hayat baginda telah mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada rakyat dan negaranya serta amat disanjungi dan dihormati rakan senegara dan umat Islam, demi kesejahteraan dan pembangunan negara Arab Saudi," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, Malaysia akan meneruskan usaha memperkukuhkan hubungan antara dua negara bersaudara ini berdasarkan dedikasi dan sumbangan Putera Nayef semasa hayat baginda ke arah itu.

"Pada ketika negara ini sedang diselubungi kedukaan dan kesedihan, saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan takziah dan simpati kepada Raja Abdullah dan rakyat Arab Saudi.

"Kami berharap baginda dan kerabat diraja yang lain serta rakyat Arab reda dengan ketentuan illahi ini.

"Kami berdoa semoga Allah SWT mengampuni dan mencucuri rahmat ke atas roh almarhum dan semoga bersemadi dengan tenang dan ditempatkan di Al-Jannah (syurga)," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment