My Add

Friday, 22 June 2012

Razak digesa buat laporan polis

Oleh SYUKRI SHAARI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris digesa membuat laporan polis berikutan pendedahan beliau diarah membuat akuan bersumpah menutup kes pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, tindakan Anwar memaksa Abdul Razak membuat akuan bersumpah tersebut adalah kesalahan yang berat di sisi undang-undang.

Choo Keong yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga berkata, pendedahan itu serius kerana akuan bersumpah yang dibuat bukan atas kerelaan Abdul Razak dan boleh disifatkan sebagai akuan palsu.

"Ini adalah satu kesalahan, ia merupakan akuan palsu. Mana boleh Anwar memaksa Abdul Razak membuat akuan bersumpah semata-mata untuk menutup dakwaan yang dihadapinya.

"Abdul Razak perlu segera membuat laporan polis dan pihak berkuasa juga perlu bertindak dengan serta-merta. Jelas sekali ia bukan akuan bersumpah Abdul Razak tetapi orang lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Razak dilaporkan membuat pendedahan beliau telah membuat akuan bersumpah membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion atas permintaannya yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula berkata, beliau tidak hairan dengan pendedahan itu kerana hakikatnya banyak isu membabitkan Anwar mengugut dan memaksa pegawai kerajaan telah didedahkan.

"Sebab itu saya mahu ingatkan Anwar, jangan sombong dan angkuh, sudah banyak bukti baru yang timbul berhubung salah lakunya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri," jelasnya.

Ditanya berhubung tindakan Anwar yang sering berdolak-dalik berhubung isu berkenaan, Zahrain berkata, ia memang permainan Ketua Pembangkang itu untuk mengalihkan persepsi negatif terhadap diri beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan pendedahan tersebut sebagai bukti terbaru penyalahgunaan kuasa oleh Anwar sewaktu memegang kuasa.

"Selama ini, Anwar tuduh kita macam-macam, tetapi berdasarkan bukti-bukti didedahkan hari ini, semua tuduhan yang dilemparkan itu, sebenarnya beliau yang lakukan.

"Jadi, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti kebenaran," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment