My Add

Thursday 14 June 2012

Remaja buang pil khayal elak ditahan dalam operasi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Bagi mengelakkan dirinya ditahan bersama pil khayal, seorang remaja lelaki bertindak membuang pil berkenaan selepas menyedari terdapat sekatan jalan raya kira-kira 100 meter di hadapannya. 

Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, remaja itu yang menunggang motosikal dilihat mencampakkan sesuatu di tepi jalan sebelum beberapa anggota berjaya menjumpai dua biji pil khayal jenis Eramin 5 di tepi jalan berkenaan.

"Kita tahan remaja berkenaan dan selepas disoal beberapa kali baru dia mengaku membuang kedua-dua biji pil itu kerana takut jika dia ditahan bersama pil khayal terbabit dan dia juga mengaku baru mengambil pil itu kira-kira tiga minggu lepas.

"Remaja itu juga dikatakan baru sahaja mengambil motosikal ibunya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bentong sebelum dibawa ke rumahnya di Sentul," katanya kepada pemberita sewaktu operasi Ops Samseng di sini, semalam. 

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap remaja terbabit didapati dia tidak memiliki lesen dan tiada cukai jalan serta ujian saringan air kencing juga didapati dia positif dadah jenis ganja. 

"Remaja terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12(a)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 

Operasi yang bermula jam 10.30 malam tadi di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), susur ke Padang Balang, Sentul disertai sembilan anggota termasuk dua pegawai.

"Sebanyak 180 kenderaan diperiksa dan 317 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta menyita lapan motosikal kerana cukai jalan tamat tempoh dan tiada cukai jalan," katanya. 

Operasi berakhir pada jam 1.30 pagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment