My Add

Thursday 14 June 2012

116,379 kes bankrap direkod 2005 hingga April 2012

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Sebanyak 116,379 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi direkodkan sejak 2005 hingga April lepas, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 37,493 kes (32 peratus) membabitkan golongan berumur 35 hingga 44 tahun.

"Umur 45 hingga 54 tahun sebanyak 30,910 (27 peratus), umur 25 hingga 34 tahun sebanyak 21,353 (18 peratus), umur 55 tahun ke atas sebanyak 14,379 (12 peratus), umur 25 tahun ke bawah 1,617 (satu peratus), manakala sebanyak 10,627 kes (sembilan peratus) tiada maklumat," katanya pada sesi soal jawab di sini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang bertanyakan bilangan kebankrapan, pecahan mengikut umur dan punca-punca kebankrapan. 

Mohamed Nazri berkata punca terbesar kebankrapan di negara ini adalah hutang sewa-beli kenderaan iaitu sebanyak 29,338 kes (25 peratus), pinjaman peribadi 15,299 kes (13 peratus), pinjaman perumahan 14,327 kes (12 peratus), pinjaman perniagaan 13,107 kes (11 peratus) dan pinjaman korporat 6,127 kes (lima peratus). 

Penjamin sosial pula sebanyak 6,163 kes (lima peratus), hutang kad kredit 5,735 kes (5 peratus), hutang cukai pendapatan 1,112 kes (satu peratus), biasiswa 196 kes (kosong peratus) dan keberhutangan lain 24,975 kes (21 peratus). 

Selain itu, Mohamed Nazri berkata, kerajaan sedang mempertimbang cadangan mengurangkan tempoh pelepasan kebankrapan melalui pembaharuan undang-undang insolvensi. 

"Selaras dengan trend insolvensi secara global pada masa ini bercorak lebih memudahkan dan kos efektif, kaedah dan konsep pelepasan secara automatik setelah tamat sesuatu tempoh tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti diamalkan di negara lain juga sedang dikaji kesesuaiannya untuk digunakan di Malaysia," katanya. 

Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut menasihatkan setiap peminjam terutama hutang sosial dan pendidikan agar bertanggungjawab atas pinjaman masing-masing supaya tidak membebankan penjamin sehingga diisytiharkan bankrap. 

"Sikap bertanggungjawab itu mesti diletakkan kepada anak-anak muda yang telah bersetuju untuk terima pinjaman ini dan jalankan pendidikan mereka. 

Sepatutnyalah mereka yang dapat pinjaman ini bertanggungjawab ke atas pinjaman yang diterima. Kalau tak bayar, yang dibankrap adalah ibu bapa atau saudara-mara terdekat," katanya. 

Menjawab soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai penguatkuasaan kerajaan terhadap orang yang bankrap tetapi mampu hidup secara mewah, Mohamed Nazri berkata, Jabatan Insolvensi sentiasa memantau perkara itu dan berharap orang ramai dapat bekerjasama memaklumkan kepada jabatan supaya tindakan selanjutnya boleh diambil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment