My Add

Sunday 17 June 2012

Resipi ekonomi pembangkang boleh hancurkan negara

PENSIANGAN, SABTU, 16 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang dengan menegaskan resipi ekonomi yang dibawa mereka boleh menyebabkan kehancuran kepada negara.

Kata Perdana Menteri, janji-janji pembangkang sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan masalah ekonomi kepada negara seperti yang dialami sesetengah negara di dunia.

"Sesetengah negara yang cuba mengagihkan kekayaan tanpa ada kemampuan tambahan adalah formula dan resipi yang membawa kepada keruntuhan ekonomi termasuklah janji-janji pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka janji hendak bagi pendidikan percuma, hendak hapuskan tol dan janji macam-macam perkara tetapi tidak sebut daripada mana duit itu datang. Adakah jatuh dari langit atau turun dari Gunung Kinabalu?

"Saya tahu, saya Menteri Kewangan, saya tahu jangan bohong, jangan tipu rakyat," katanya pada majlis pecah tanah pelancaran Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC), di sini hari ini.

Jelas Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik sehingga mampu menjana pendapatan kepada negara.

Katanya, ia jelas dapat dilihat apabila hasil negara melonjak kepada RM26 bilion tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemampuan kerajaan melaksanakan program perubahan dan bantuan kepada rakyat dilakukan berdasarkan kepada kaedah berhemah.

"Apabila kita berjaya jana pendapatan, baru kita belanja, lebih banyak pendapatan lebih banyak kita belanja.

"Sebab itu bila kita belanja untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kerana kita dapat hasil tambahan melalui projek besar, badan korporat dan daripada hasil yang kita kumpul," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment