My Add

Sunday 24 June 2012

RM434j biayai 238 projek syarikat tempatan

*MUHYIDDIN Yassin berucap pada majlis ramah mesra bersama mahasiswa UTM di Skudai, Johor Bahru, semalam.

Oleh LUQMAN HAZIQ 
dan NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, SABTU, 23 Jun, 2012: Kerajaan telah membiayai sebanyak 238 projek syarikat tempatan yang berteraskan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan dana berjumlah RM434 juta sejak tahun 2006 hingga Mei lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembiayaan itu disalurkan menerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yang menyediakan Dana Pengkomersialan Hasil R&D dan Dana Perolehan Teknologi (TAF).

Menurutnya, ia bertujuan menggalakkan pertumbuhan syarikat berteraskan teknologi melalui pengkomersialan hasil R&D dan inovasi tempatan serta perolehan teknologi dari luar negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 153 projek berjaya mengkomersialkan produk mereka di dalam dan luar negara, sekali gus menjana jualan berjumlah RM817.73 juta dengan RM206 juta daripadanya adalah nilai jualan eksport," katanya ketika merasmikan Pusat UTM-MTDC Fasa II di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memupuk dan membentuk sebuah masyarakat yang membudayakan sains, teknologi dan inovasi yang merupakan elemen penting dalam pembangunan negara di era moden ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan usaha pengkomersialan produk dan teknologi institusi pengajian tinggi (IPT), adalah penting ia dijadikan lebih bersifat antarabangsa serta diwujudkan hubungan jaringan berasaskan kerjasama.

Selain itu, kata beliau, kerajaan turut memperuntukkan dana berjumlah RM30 juta menerusi 'Program Market Validation' yang diuruskan MTDC dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Dana ini diperuntukkan khusus untuk membiayai dan melaksanakan satu kaedah pengesahan pasaran dan kebolehan pasaran sesuatu produk yang dihasilkan oleh universiti dan institut penyelidikan tempatan sebelum ia dipromosikan kepada pihak industri untuk dikomersilkan.

"Sehingga Mei lepas, sejumlah 390 senarai produk berpotensi telah dikemukakan oleh tujuh universiti tempatan terpilih untuk menjalani proses 'Market Validation," kata Muhyiddin.

Sementara itu, pada majlis ramah mesra bersama mahasiswa UTM selepas itu, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan komited meneruskan program dirancang termasuk memastikan 80 peratus tenaga mahir di negara ini yang hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat meningkatkan kemahiran mereka.

"Kerajaan menerusi beberapa kementerian telah menyediakan peluang kepada mereka ini dalam pelbagai bidang termasuk mewujudkan kolej-kolej komuniti," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan tiga majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) iaitu antara UTM dan Sawipac Sdn. Bhd.; UTM dan Technology Park Malaysia Engineering Sdn. Bhd. serta MTDC dan Johor Biotecnology & Biodiversity Corporation (J-Biotech). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment