My Add

Sunday 24 June 2012

Seri Paduka bangga kejayaan MCKK

*TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah sesuatu kepada Raja Nazrin Shah ketika berangkat ke Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Kolej Melayu Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA

KUALA KANGSAR, SABTU, 23 Jun, 2O12: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang berjaya menjadi sekolah kerajaan pertama menyediakan Program Diploma International Baccalaureate.

Baginda bertitah, kejayaan program itu akan menjadi penanda aras untuk sekolah lain bagi merancakkan bidang pendidikan yang bertaraf dunia.

"Sebelum ini, tidak ada sekolah kerajaan yang menyediakan program seumpama ini. Lebih membanggakan lagi semua tenaga kerja program ini merupakan warga kerja tempatan yang terdiri daripada guru-guru MCKK dan guru-guru yang pernah berkhidmat dengan cemerlang di sekolah berasrama penuh dan sekolah harian sebelum ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Hari Ucapan dan Penyampaiaan Hadiah MCKK 2012 serta merasmikan Kompleks International Baccalaurauete World School, MCKK di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengetua MCKK, Anand Baharuddin.

Pada 16 Mei 2011, MCKK dianugerah sijil pentauliahan oleh International Baccalaurreate Organization dan program diploma itu bermula 27 Jun 2011.

Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang diraih oleh MCKK dalam bidang kokurikulum kerana ia bukan sahaja menaikkan nama kolej itu malah telah memartabatkan pendidikan di negara ini.

"Dengan sokongan semua pihak terutama para pendidik, pelajar dan ibu bapa serta Persatuan Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Old Boys Association yang begitu aktif dan prihatin dalam memantau perkembangan dan kemajuan sekolah ini, Malay College akan terus bertahan sebagai sebuah institusi pendidikan unggul yang terus cemerlang dan terbilang," titah baginda. 

Baginda tuurt mengingatkan warga MCKK supaya memelihara pelbagai tradisi yang menjadi nilai kebijaksanaan di kolej itu agar keunggulan "Malay College" dalam bidang akademik tidak akan terhakis oleh arus pemodenan yang begitu pesat dan mencabar.

Baginda berharap pelajar MCKK dapat membentuk peribadi yang baik dengan akhlak yang mulia agar pembentukan modal insan yang sempurna dapat direalisasikan.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan pelbagai anugerah antaranya Anugerah Khas Mantan Ahli-ahli Lembaga Pengelola The Malay Collage, Anugerah Carey, Anugerah Hasanal Bolkiah dan Anugerah Kepimpinan.

Kompleks International Baccalaureate yang dibina pada tahun 2009 dan siap pada April 2011 kini dinamakan sebagai Kompleks Sultan Azlan Shah International Baccalaureate.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment