My Add

Sunday 24 June 2012

Tolak pembangkang ajar masyarakat tiga nilai buruk

*NAJIB dan Rosmah Mansor menyaksikan persembahan silat sewaktu majlis ramah mesra bersama rakyat dan pelancaran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ku Sihat di Kampung Sungai Bum Bum, Pulau Carey, semalam. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LANGAT, SABTU,23 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar menolak pakatan pembangkang kerana cuba mengajar masyarakat di negara ini mengamalkan nilai yang tidak baik.

Tegas Perdana Menteri, ajaran songsang pakatan pembangkang itu jelas dilihat menerusi tiga sikap negatif pakatan pembangkang yang cuba diterapkan kepada rakyat iaitu tidak menunaikan janji, tidak mengenang budi dan juga tidak membayar hutang.

"Ada tiga nilai yang tidak baik yang diajar pembangkang kepada masyarakat kita. Pertama, janji tidak perlu ditunaikan kerana janji itu janji politik.

"Keduanya, budi tidak payah dihargai kerana apabila kita (Barisan Nasional) berbudi kepada rakyat, mereka sakit hati kepada BN dan mereka kata budi tak perlu dihargai...ini nilai yang buruk.

"Ketiganya, hutang tak perlu dibayar, ini pun nilai yang buruk, kalau hutang kita wajib bayar balik. Kalau kita meninggal dunia pun, roh kita akan tersiksa kalau hutang tidak dilunaskan..ini ajaran Islam, tapi pada dia (pembangkang) hutang tidak perlu dilunaskan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat dan melancarkan program 'PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) Ku Sihat' di Kampung Sungai Bum Bum, Pulau Carey di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis disertai kira-kira 5,000 orang terdiri daripada Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed serta para pemimpin komponen BN Selangor.

Program 'PDK Ku Sihat' merupakan usaha Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) diketuai Rosmah menerusi Program Semai Bakti bagi meningkatkan tahap kesihatan warga pusat PDK terdiri daripada ibu bapa, penjaga serta OKU.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor pada majlis itu turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2.6 juta bagi menaik taraf kemudahan asas Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Carey yang turut melibatkan penyediaan infrastruktur bekalan elektrik dan air.

Bantuan itu disalurkan setelah Noh memaklumkan kepada beliau pada mesyuarat Kabinet Jumaat lalu bahawa sekolah berkenaan belum mendapat sambungan bekalan elektrik dan air selain memerlukan bantuan kewangan.

Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan akan mengadakan rundingan dengan syarikat perladangan, Sime Darby bagi menyelesaikan masalah tanah untuk perumahan masyarakat India di Pulau Carey.

"Masyarakat India di sini memohon tanah bagi membina rumah untuk keperluan mereka. Di sini (Pulau Carey), kebanyakannya adalah tanah ladang dan dimiliki Sime Darby, saya akan adakan rundingan dengan Sime Darby bagi menyelesaikan masalah ini," jelas Najib.

Mengulas lanjut mengenai bantuan yang disediakan kerajaan, beliau memberikan contoh pentadbiran di bawah BN sentiasa menitikberatkan tahap kesihatan rakyat apabila kerajaan telah membina 145 buah hospital awam termasuk 2,800 klinik kesihatan untuk kemudahan rakyat di negara ini.

Pembinaan kemudahan kesihatan itu jelas Perdana Menteri, tidak termasuk usaha kerajaan mewujudkan 103 buah klinik 1Malaysia di seluruh negara dan jumlah itu katanya, dijangka akan bertambah sebanyak 65 buah lagi berdasarkan perancangan oleh kerajaan bagi meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dalam soal penjagaan kesihatan mereka.

Ujar Najib, bantuan itu turut melibatkan Program Jalinan Murni yang dilaksanakan di bawah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang diadakan di Pulau Carey hari ini apabila seramai 1,257 ketua isi rumah Orang Asli menerima bantuan makanan termasuklah bantuan pakaian seragam dan pembelajaran untuk anak-anak mereka.

Bantuan persekolahan tersebut jelasnya, turut diberikan kepada anak-anak masyarakat India di kawasan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment