My Add

Friday 15 June 2012

Sime Darby labur RM1.4 bilion dalam operasi Pelabuhan Weifang

WEIFANG, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Sime Darby Bhd, konglomerat terbesar Malaysia, akan melabur RM1.4 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk mengembangkan operasi pelabuhannya di Weifang, wilayah Shandong, China. 

Syarikat itu juga memperuntukkan RM350 juta bagi pelaburan seterusnya dalam kemudahan pelabuhan di masa depan.

“Perniagaan pelabuhan kami adalah satu daripada strategi pengembangan utama kami di China. Kami mempunyai rancangan untuk berkembang dan kami akan melipatgandakan usaha kami untuk mempercepatkan kemajuan.

“Kami mahu menjadi peserta pelabuhan utama di Shandong,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Bakke Salleh, kepada pemberita di taklimat media di sini, hari ini. 

Di bawah pelan pembangunan lima tahun Pelabuhan Weifang Sime Darby, syarikat itu mensasar menggandakan bilangan limbungannya di pelabuhan itu daripada 12 ketika ini, menjelang 2017. 

Tiga limbungan, dengan kapasiti 20,000 tan metrik, ketika ini sedang dibina dan dijangka siap tahun depan. 

Ia juga merancang meningkatkan kapasitinya bagi mengendalikan lebih 50 juta tan metrik kargo setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, daripada 18 juta tan metrik kargo. 

Pelabuhan itu mengendalikan lebih daripada 30 jenis kargo yang berbeza termasuk garam mentah, bijirin, arang batu, petroleum dan produk cecair. 

Pelabuhan Weifang Sime Darby, terletak di wilayah utama ekonomi Bohai Sea, 50 km dari Weifang City. Ia juga hanya 67 batu nautika ke Pelabuhan Longkou dan 139 batu nautika ke Pelabuhan Baharu Tianjin, pelabuhan terbesar di Utara China. 

Tahun lalu, Pelabuhan Weifang mencatatkan perolehan kira-kira RM90 juta dan keuntungan sebelum cukai RM50 juta. 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Tenaga dan Utiliti, Operasi China Sime Darby, Timothy Lee Chi Tim, berkata Pelabuhan Weifang Sime Darby diiktiraf oleh Kerajaan Shandong sebagai satu daripada empat pelabuhan paling penting Kawasan Pembangunan Ekonomi-Teknologi Binhai (BEDA) di Delta Sungai Kuning. 

“Kami akan menambah baik kapasiti Pelabuhan Weifang dan mempercepatkan pembinaan lebih banyak limbungan, simpanan dan kemudahan pengendalian lain," katanya. 

BEDA ditubuhkan pada Ogos 1995 untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Shandong, dan penting kepada pelan induk BEDA ialah pembinaan taman logistik pelabuhan laut dengan Pelabuhan Weifang Sime Darby sebagai hab fret utamanya yang bertindak sebagai pusat pindahan dan pengedaran bagi pelabuhan pengantara lain di rantau ini. 

Selain daripada Pelabuhan Weifang, Sime Darby juga mengendalikan tiga pelabuhan sungai lain di Jining, bandar di wilayah Shandong. 

Konglomerat itu mempunyai hak eksklusif untuk membangunkan dan mengendalikan empat pelabuhan arang batu di Jining dengan gabungan kapasiti 17.5 juta tan metrik setahun. 

Ia juga mempunyai hak untuk membangunkan tiga lagi pelabuhan di Jining dan sebuah di Zaozhuang yang mana hanya di luar sedikit daripada kawasan Jining. 

Sementara itu, pada majlis yang sama, syarikat itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lima syarikat utama - Downstream Logistics B.V.; Shandong Luzhong Distribution Co; Changshu Westerland Warehousing Co Ltd; Huadian Cooperation Weifang Power Generation Co Ltd; dan DHL Global Forwarding Management (Asia Pacific) Pte Ltd. 

MoU itu akan menyaksikan komitmen lima syarikat terbabit untuk menggunakan kemudahan Pelabuhan Weifang. 

Sime Darby juga memeterai MoU dengan Kerajaan Bandar Raya Weifang yang akan menyaksikan kerajaan mempercepatkan semua proses pentadbiran seperti pelesenan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment