KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan taktik lapuk bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu berkaitan tuduhan mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.
Bagaimanapun, cubaan beliau mengheret Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memakan diri apabila dikecam hebat bekas-bekas rakan karibnya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, Anwar sepatutnya menjawab tuduhan yang didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid pada Oktober 1999.
''Sejak dari dulu lagi, Anwar sentiasa mengaitkan orang lain setiap kali merasakan dirinya tersepit dengan pelbagai isu dan skandal.
''Cuma, saya agak hairan mengapa beliau mengaitkan Muhyiddin dan bukannya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang didakwa memiliki harta melebihi kemampuan kewangannya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap berdiam diri Anwar yang enggan memberi sebarang penjelasan berhubung tuduhan Abdul Murad itu.
Sebaliknya, Anwar memberi alasan tidak munasabah iaitu beliau akan mendedahkan akaun bank miliknya sekiranya Muhyiddin membuat perkara yang sama.
Dalam perkembangan sama, Lum Yong turut membidas Pas dan DAP kerana tidak langsung bersuara mendesak Anwar tampil membersihkan namanya.
''Pembangkang sering menguar-uarkan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya merampas Putrajaya," katanya.
''Justeru, Pas dan DAP perlu memastikan Anwar benar-benar bersih daripada segala skandal yang dikaitkan dengan dirinya sebelum angan-angan mereka ke Putrajaya tercapai," ujarnya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari memberitahu, lambat-laun rakyat akan tahu kebenaran di sebalik tuduhan Abdul Murad tersebut.
''Saya nasihatkan Anwar jangan cuba mengelak daripada menjawab isu yang sebenarnya. Jangan ingat semua orang percaya dengan pembohongannya," katanya.
Dalam masa yang sama, Anuar meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak merahsiakan status siasatan kes berkenaan kerana Anwar yang bercita-cita menjadi layak dinilai oleh orang ramai. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment