My Add

Thursday 21 June 2012

Tampil serahkan kajian saintifik LAMP

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) diminta tampil menyerahkan kajian saintifik masing-masing.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hujah berorientasikan sains adalah lebih relevan berbanding kenyataan-kenyataan longgar berpaksikan persepsi yang diwujudkan golongan berkenaan berhubung projek itu.

"Sains lawannya sains, saya beri laporan daripada hasil kajian sains. Kalau ada pihak tak setuju, berikan saya hasil kajian sains yang menunjukkan sebaliknya.

"Kalau tidak, ia hanyalah persepsi. Apa-apa keputusan berdasarkan persepsi akan berubah-ubah mengikut politik masing-masing," katanya yang juga Menteri Pengajian Tinggi pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Memperkasa Keusahawanan Belia (EYE) anjuran Kolej Universiti Binary di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Joseph Adaikalam.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas, Zulkefly Mohamad Omar hari ini yang menyifatkan laporan jawatankuasa itu sebagai tidak betul dan berat sebelah serta untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan kajian Ahli Parlimen parti itu yang juga seorang pakar nuklear, Dr. Che Rosli Che Mat semalam yang menegaskan, tahap radiasi di projek itu berada pada paras rendah berbanding yang dibenarkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment