My Add

Thursday 21 June 2012

Miti: Lynas tidak akan kompromi keselamatan publik

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 201: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan sekali lagi bahawa kesihatan dan keselamatan awam tidak dikompromi oleh Lynas Advanced Materials Plants (LAMP) di samping mengambil kira kebimbangan sesetengah pihak.

Kerajaan telah mengarahkan permohonan LAMP melalui siri penilaian oleh pakar-pakar untuk menentukan sama ada ia mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai, kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa perkara utama kerajaan adalah Rakyat Didahulukan dengan memastikan kesihatan dan keselamatan awam tidak terjejas," kata beliau.

Beliau berkata, peranan kerajaan, dalam kes-kes di mana semua syarat yang dikenakan oleh agensi pengawalseliaan telah dipatuhi, adalah seseorang pemohon harus dibenar untuk menjalankan projek.

Katanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mengeluarkan Lesen Pengilang kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd pada Januari 2008 selepas menerima maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Lesen itu dikeluarkan tertakluk kepada pematuhan peruntukan-peruntukan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Adalah penting untuk ditekankan bahawa Lynas bukan loji nuklear tetapi kilang pemprosesan bahan kimia dan bahawa bijih nadir bumi yang digunakan di tapak tidak dikategorikan sebagai mineral radioaktif," katanya.

Bijih berkenaan secara saintifiknya dikelaskan sebagai NORM (bahan radioaktif yang berlaku semula jadi) dan mempunyai tahap radiasi yang jauh di bawah paras bahaya, katanya.

Beliau berkata penilaian tersebut termasuk pemberian Lesen Pembuatan tertakluk kepada kelulusan oleh pelbagai badan kawal selia, termasuk AELB dan JAS, serta penentuan oleh kedua-dua badan mengenai kesan projek terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga menentukan jika projek itu menimbulkan risiko yang tidak boleh diterima untuk kesihatan dan keselamatan awam pada Jun 2011, dengan mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh anggota kumpulan kepentingan awam dan orang ramai, katanya.

Panel kajian IAEA terdiri daripada sembilan pakar bebas, empat dari IAEA dan yang lain dari Kanada, India, United Kingdom, Belanda dan Afrika Selatan, katanya.

Terdapat juga penilaian akhir oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC), yang mengambil masa tiga bulan untuk mengkaji isu itu dan mengemukakan penemuannya kepada Parlimen semalam.

Selepas perdebatan, laporan PSC diluluskan oleh Parlimen.

Kesimpulan semua proses penilaian ini konsisten, katanya.

Penemuan termasuk tahap radioaktif di tapak LAMP jauh di bawah had yang boleh diterima.

Walaupun tahap pendedahan kepada radio aktiviti yang boleh diterima di peringkat global adalah 1mSv/tahun, pakar-pakar membuat kesimpulan bahawa tahap pendedahan radiasi yang berpotensi kepada seseorang pekerja di kilang LAMP akan hanya 0.2 mSv/tahun, katanya.

Pakar-pakar juga membuat kesimpulan bahawa pihak berkuasa mengadakan langkah-langkah yang mencukupi untuk terus memantau keadaan di kilang, termasuk semua aktiviti bermula daripada ketibaan bahan mentah di pelabuhan, pengangkutan ke tapak, pemprosesan di tapak dan pelupusan sisa, katanya.

Beliau berkata, PSC juga telah mencadangkan agar sisa yang dikeluarkan di kilang itu dilupuskan di lokasi di luar negara.

Beliau berkata, MITI menjangka AELB yang akan mengambil kira saranan ini dan menjadikannya syarat untuk pemberian lesen operasi sementara (TOL). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment