My Add

Sunday 24 June 2012

UTC terbukti beri kepuasan

*NAJIB diiringi Ahmad Husni Hanadzlah dan Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada upacara Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka, semalam. - MINGGUAN/GAIE UCHEL

Oleh AMRAN MULUP
MELAKA, SABTU, 23 Jun, 2012: Penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di negara ini di Jalan Hang Tuah di sini terbukti memberi kepuasan yang begitu tinggi kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, ia merupakan contoh di mana kerajaan Pusat dan negeri dapat menjalin kerjasama dengan begitu erat selain menzahirkan satu konsep yang memberi kemudahan yang begitu baik kepada rakyat.

Beliau menegaskan, konsep UTC yang diperkenalkan itu dilihat cukup mesra rakyat di mana di bawah satu bumbung terdapat 70 kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

''Saya percaya pusat ini (UTC) setelah beroperasi boleh mendapat sambutan yang cukup hangat bukan kerana bangunannya tetapi lebih penting dari segi kemudahan dan pengisian perkhidmatan yang begitu hebat diberikan kepada rakyat.

''Pusat ini juga berkonsepkan mesra rakyat, bukan sahaja terdapat 70 kementerian, agensi kerajaan, NGO dan swasta tetapi ia turut menawarkan kemudahan sosial seperti pusat jagaan kanak-kanak, perpustakaan, gimnasium dan surau.

''Lebih penting lagi, urusan berkaitan dengan orang ramai terdapat di sini seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen yang membolehkan MyKad serta pasport dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian bangunan UTC Melaka yang pertama seumpamanya di negara ini di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Sejurus menyempurnakan perasmian yang dihadiri kira-kira 100,000 orang itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa membuat lawatan dan meninjau perkhidmatan yang disediakan di situ.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas Melaka, UTC kedua akan dilancarkan di Pudu Sentral, Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih bangunan Pudu Sentral itu kini sedang giat dijalankan.

''Selepas ini, UTC akan dikembangkan ke setiap bandar lain dan saya harap dalam masa tidak lama lagi setiap negeri akan mempunyai UTC sendiri," ujarnya.

Beliau turut memuji usaha gigih kerajaan negeri menyiapkan kerja-kerja membaik pulih bangunan UTC sembilan tingkat apabila dapat disiapkan dalam tempoh hanya enam minggu.

Katanya, ia merupakan satu rekod dari segi kepantasan serta pelaksanaan daripada satu keputusan dibuat dari tarikh kemudahan dapat disiapkan untuk kegunaan orang ramai.

UTC Melaka beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka kepada orang ramai untuk membuat urusan dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment