Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
![]() |
| *UPIN dan Ipin bergambar dengan sebahagian kanak-kanak pra sekolah dan tahun satu yang menyertai pertandingan mewarna sempena Festival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, semalam. |
SEREMBAN, AHAD, 19 Mei, 2013: Festival Hari Guru 2013 yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Kumpulan Utusan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya mencapai sasaran lebih 20,000 pengunjung sepanjang empat hari berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini bermula Khamis lalu.
Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, jumlah kehadiran pengunjung kali ini cukup memberangsangkan selain penambahan tapak jualan dan pameran sepanjang tiga hari tersebut.
"Peningkatan pengunjung itu dibantu oleh lokasi penganjuran di Kompleks Belia dan Sukan Paroi yang cukup strategik bagi penduduk di kawasan sekitar Ampangan, Paroi dan juga Senawang selain keadaan cuaca mengizinkan.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ini membuktikan kerjasama semua pihak amat berjaya sekali dan diharapkan usahasama ini dapat diteruskan pada masa depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain itu katanya, penambahan itu turut disumbangkan menerusi konsert Apo Kono Eh Jang yang menampilkan kehadiran artis-artis terkemuka seperti Datuk AC Mizal, Ella, Azlan & The Typewriter, Waris, DJ Fuzz dan Ani Mayuni serta Didie Alias pula bertindak sebagai pengacara pada konsert berkenaan.
Tidak ketinggalan Ceramah Agama yang menampilkan Ustaz Kazim Elias pada malam Jumaat lalu yang mencatatkan lebih 2,000 pengunjung.
Dalam pada itu, kata Wahid, pelbagai acara turut dijalankan hari ini termasuk go-kart, pertandingan mewarna, pertandingan akhir Bintang Suara BSN selain pentarama. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment