Perbaiki kelemahan - Rohani Abdul Karim
Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, AHAD, 19 Mei, 2013: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak akan bertindak terburu-buru menukar sebarang dasar atau program sedia ada hanya disebabkan pemimpin atasan telah berubah.
Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kebanyakan program yang dilaksanakan selama ini bertepatan dengan misi utama kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat pelbagai latar belakang.
Namun katanya, masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki terutama dari segi pelaksanaan bagi memastikan program berkenaan benar-benar berhasil serta mencapai matlamat untuk membantu golongan sasar.
"Untuk makluman terdapat lapan kumpulan sasar pihak kementerian, misalnya warga emas, kanak-kanak, wanita, golongan miskin serta OKU (orang kurang upaya) dan kesemua kumpulan ini sudah ada program tersendiri.
"Apabila saya menyertai kementerian ini, kita tidak akan tukar segalanya. Ada program yang mempunyai objektif cukup baik, tetapi pelaksanaan terganggu sehingga mendatangkan kemarahan rakyat, jadi apa yang perlu dilakukan adalah kita cuba memperbaiki mana-mana kelemahan," katanya.
Rohani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, beliau akan bertemu dengan wakil mana-mana bahagian di kementeriannya termasuk persatuan dan yayasan yang terlibat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai setiap program yang sedang dilaksanakan.
"Apa yang penting, kita perlu maklum balas daripada semua pihak kerana kita yang berada di peringkat menggubal dasar kadang-kala tidak begitu didedahkan mengenai perkara-perkara tertentu," katanya.
Mengenai isu penderaan seksual terhadap wanita Penan di Sarawak yang kembali dibincangkan, Rohani berkata, masalah tersebut telah ditangani dengan baik oleh kerajaan beberapa tahun lalu.
"Ini mungkin usaha pembangkang untuk dapatkan perhatian saya, jadi saya sudah maklumkan kepada KSU (Ketua Setiausaha) supaya sediakan satu penjelasan lengkap mengenai tindakan yang telah dilakukan pihak kementerian selama ini.
"Insya-Allah, jika perlu berbuat demikian, kita akan turun padang sekali lagi untuk meninjau keadaan kerana saya ingin pastikan tidak ada mana-mana golongan masyarakat yang diperlaku sebegitu rupa," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment