My Add

Saturday, 18 May 2013

Anjung Kasih, Anjung Singgah diperluas

PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Mei, 2013- Inisiatif Anjung Kasih dan Anjung Singgah yang bertujuan membantu ahli keluarga pesakit dan golongan gelandangan di bandar akan diperluaskan ke lebih banyak tempat untuk memanfaatkan kumpulan sasar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, Anjung Kasih baharu akan diwujudkan di Miri dan Sibu di Sarawak sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada di Kuching, Selayang dan Kuantan.

"Kemudahan Anjung Kasih amat penting kerana pesakit dari luar bandar seperti dari Limbang dan Lawas selalu diminta untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital bandar.

"Ahli keluarga yang menemani mereka tetapi kurang berkemampuan untuk duduk di hotel bajet terpaksa tidur di tepi katil pesakit di hospital dan berkongsi makanan dengan pesakit.

"Dengan kewujudan Anjung Kasih, mereka dapat bermalam di tempat yang lebih selesa dan menumpu perhatian untuk menjaga ahli keluarga yang sakit," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai operasi kementeriannya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Setiausaha, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Dalam pada itu, Rohani berkata, sebuah lagi Anjung Singgah yang berperanan menyediakan tempat tinggal sementara dan makanan kepada golongan gelandangan akan diwujudkan di Johor Bahru.

"Pada ketika ini, Anjung Singgah telah diwujudkan di Kuala Lumpur dan Kuching. Antara yang menerima manfaat daripada pusat ini ialah mereka yang tengah mencari pekerjaan di bandar," katanya.

Rohani berkata, tumpuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terhadap isu-isu dan keperluan di Semenanjung tidak akan terjejas walaupun kedua-dua menteri dan timbalan menteri yang meneraju kementerian itu berasal dari Sabah dan Sarawak.

"Saya telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta supaya kita lebih banyak turun padang di Sabah dan Sarawak.

"Tumpuan kami tidak terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja, tetapi ia meliputi seluruh negara," kata beliau lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment