My Add

Saturday, 18 May 2013

Bersedia hadapi cabaran baharu - Richard Riot

KUCHING, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Pelantikan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri daripada pelbagai kaum sebagai anggota Kabinet baharu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana golongan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot berkata, sejarah terukir di negara dan negeri ini selepas beliau menjadi satu-satunya menteri kaum Bidayuh dilantik di peringkat Kerajaan Pusat.

Katanya, beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana memberi kepercayaan kepadanya.

"Secara peribadi saya memang gembira dengan pelantikan ini walaupun sedar tanggungjawab ini cukup besar, namun saya sudah bersedia menghadapi cabaran mendatang.

"Antara perkara yang mendapat perhatian kementerian buat masa ini adalah berhubung pembayaran gaji minimum bagi pekerja di sektor swasta," katanya dalam sidang akhbar di ruangan kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.

Richard merupakan salah seorang daripada tujuh menteri dari negeri itu yang dilantik bagi membarisi Kabinet baharu yang diumumkan Rabu lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung memperkasa sektor manusia di negeri ini termasuk dalam bidang perladangan dan di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan diteliti terlebih dahulu.

Di samping itu, Richard yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, bermula Isnin ini beliau akan menjalankan tugas di pejabat baharu di Putrajaya.

Katanya, walaupun berdepan kesukaran dari sudut jarak namun beliau akan memastikan berada di Parlimen Serian iaitu kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 setiap hujung minggu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment